TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gegaran gempa bumi dikesan di Johor, MB nasihat penduduk jauhi struktur bangunan tidak kukuh

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 24 Ogos – Gegaran gempa bumi lemah berkekuatan 4.1 magnitud mengejutkan penduduk Segamat dan kawasan sekitarnya pagi tadi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata gegaran berkenaan direkodkan pada jam 6.13 pagi.

Beliau berkata, hasil maklumat daripada Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima.

“Kerajaan Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Onn Hafiz turut mengajak rakyat berdoa agar Johor dan seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, memaklumkan METMalaysia telah mengesahkan gegaran berkenaan melalui kenyataan rasmi.

Katanya, gegaran itu turut dirasai di beberapa kawasan lain termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang, dengan jarak pusat gegaran kira-kira 180 kilometer dari Johor Bahru.

“Jabatan Meteorologi akan membuat pemantauan lanjut dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

+ - reset