TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sate Kajang diiktiraf makanan warisan Selangor

By
|
Kongsi
image

 

KAJANG 24 Ogos – Hidangan ikonik Sate Kajang kini secara rasmi diangkat sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai identiti kulinari yang perlu dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

Pengisytiharan bersejarah itu disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, bersempena penganjuran Karnival 1001 Rasa Sate di Kajang.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah, dalam ucapannya berkata Sate Kajang telah diwartakan sebagai objek bersejarah di bawah Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009 pada 31 Julai lalu.

“Sate Kajang merujuk kepada hidangan sate yang berasal dari Kajang sejak sekitar tahun 1870. Hidangan ini diperkenalkan oleh Allahyarham Tasnim Kasiban bersama adiknya, Rono, pada 1917.

“Sejak itu, legasi ini diteruskan turun-temurun dan menjadi antara ikon gastronomi yang mengharumkan nama Kajang, Selangor dan Malaysia,” katanya.

Borhan menjelaskan, kajian rapi menerusi Pemetaan Budaya dan Kajian Toponim yang dijalankan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mengesahkan bahawa Sate Kajang memiliki identiti tersendiri berbanding sate dari tempat lain.

Keistimewaan sate ini terletak pada potongan dagingnya yang lebih besar, seberat antara 22 hingga 24 gram, lengkap dengan ketupat dan sayuran, selain teknik membakar tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Ia terdiri daripada tiga elemen utama iaitu bahan berasaskan protein seperti daging atau ayam yang diperap, dicucuk pada lidi buluh, dibakar hingga sempurna, kemudian dihidangkan bersama kuah kacang pekat berperisa dan sambal sate yang unik,” jelasnya.

Menurut Borhan, pewartaan itu juga merupakan bentuk penghargaan terhadap jasa pengusaha sate terdahulu dan generasi baharu yang masih komited mengekalkan keaslian rasa serta teknik penyediaan.

Karnival 1001 Rasa Sate, yang bermula semalam dan berlangsung hingga esok, menghimpunkan peniaga sate dan kopi tempatan serta membuka ruang kepada usahawan kecil mempromosikan produk mereka.

Antara tarikan utama ialah pengunjung berpeluang menikmati sate percuma seawal jam 3 petang, selain pelbagai aktiviti riadah untuk keluarga dan belia.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama PADAT, Tourism Selangor dan Selangor FM itu turut menjadi usaha mempromosikan warisan kulinari tempatan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi konsep gastro-tourism atau pelancongan berasaskan makanan. 

+ - reset