TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 2 tahun cedera kaki tersepit eskalator di pusat beli-belah di Alor Setar

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 24 Ogos – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar dua tahun mengalami kecederaan pada kaki selepas dipercayai tersepit di eskalator sebuah pusat beli-belah di sini, malam semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa bersama ibunya berada di tingkat empat premis berkenaan. Mangsa yang menangis kesakitan segera dipujuk wanita dipercayai ibunya sebelum dibawa mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut pengunjung, Lukman Moidin yang juga pakar motivasi kecemerlangan, beliau menyaksikan mangsa mengalami luka tersiat pada kaki dengan kesan darah kelihatan di lantai.

“Masa saya tiba, kejadian sudah pun berlaku. Saya nampak seorang wanita memegang seorang kanak-kanak lelaki yang cedera pada kaki sambil cuba menenangkannya.

“Kasut getah yang dipakai mangsa dipercayai menjadi punca kaki tersepit pada eskalator. Saya pernah baca di internet kasut jenis itu memang berisiko untuk tersepit,” katanya.

Tambahnya, pihak keselamatan dan pengurusan pusat beli-belah segera memberi bantuan dengan membawa mangsa turun menggunakan kerusi roda sebelum dihantar ke hospital.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar lebih berhati-hati ketika menggunakan eskalator bersama anak kecil, termasuk mengelakkan penggunaan kasut getah.

“Sebaiknya dukung anak yang masih kecil ketika menaiki eskalator atau gunakan lif sebagai alternatif,” ujarnya.

+ - reset