TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suami isteri di Seremban didenda RM6,000 gara-gara simpan daging Babi Bodoh

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 27 Ogos – Sepasang suami isteri masing-masing didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menyimpan bahagian daging Babi Bodoh (Sus Barbatus) tanpa permit khas.

Menurut laporan Sinar Harian, Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Chau Thim Choy, 53, dan Ng Sui Ping, 52, selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan itu didapati menyimpan bahagian Babi Bodoh, iaitu spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Mereka turut berdepan pertuduhan menyimpan dua ekor Serindit (Loriculus Galgulus) yang juga haiwan dilindungi.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3.55 petang, 20 Ogos 2020 di sebuah premis di Pekan Broga, Mantin.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan menyimpan Babi Bodoh, serta denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun bagi kesalahan menyimpan Serindit.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Gilmoore G Bolongon, menegaskan alasan tidak mengetahui undang-undang tidak boleh diterima kerana spesies berkenaan hanya boleh disimpan dengan permit khas yang dikeluarkan menteri.

“Babi Bodoh kini semakin terancam akibat kemusnahan habitat dan pemburuan tidak terkawal. Taburannya sebelum ini di seluruh Semenanjung Malaysia, tetapi kini hanya boleh ditemui di sekitar Johor,” katanya.

Sementara itu, peguam Low Kin Fai yang mewakili pasangan terbabit memohon hukuman berbentuk denda minimum dengan alasan anak guamnya memperoleh daging berkenaan daripada orang asli dan tidak dapat membezakannya dengan daging babi hutan kerana ia sudah dalam bentuk bahagian.

Bagi pertuduhan menyimpan dua ekor Serindit, pasangan itu turut dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar.

+ - reset