TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wan Saiful desak kerajaan naikkan cukai vape, risiko kesihatan belia jadi taruhan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan (PN) menggesa kerajaan bertindak segera mengetatkan peraturan berkaitan penggunaan vape, sambil memberi amaran bahawa kelewatan berpanjangan hanya akan menambah risiko kesihatan awam.

Berbahas di Dewan Rakyat mengenai laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, beliau berkata kebimbangan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad terhadap kemungkinan tindakan undang-undang daripada pemain industri tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan berdiam diri.

“Ia kebimbangan yang mungkin ada benarnya, tapi janganlah kebimbangan itu menjadi sebab untuk tiada apa-apa tindakan langsung diambil oleh kerajaan. Kalau kita tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua,” katanya.

Wan Saiful mencadangkan cukai vape dinaikkan dalam Belanjawan 2026 dan disandarkan kepada kandungan nikotin, dengan kadar yang meningkat setiap tahun sebanyak tiga hingga empat peratus.

Menurutnya, cukai semasa iaitu 40 sen per mililiter bersamaan hanya 80 sen bagi kandungan setara sekotak rokok, sedangkan rokok dicukai sehingga RM8.

“Jurang ini terlalu besar. Jika kita tetapkan kenaikan harga secara berjadual, dalam tempoh 10 tahun rakyat akan tahu harga rokok dan vape meningkat, sekali gus boleh menghalang orang mula menghisap vape,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan harga runcit minimum untuk vape, berbeza dengan rokok yang ditetapkan pada RM12.

Katanya, guru di kawasan beliau melaporkan penggunaan vape di kalangan murid kini menjadi masalah utama.

Dalam masa sama, Wan Saiful mahu kerajaan memperketatkan penguatkuasaan Akta 852 berikutan wujud produk tidak berdaftar, promosi terbuka serta penjualan kepada remaja.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan mengenai “sistem tangki terbuka” yang didakwa lebih berbahaya kerana membolehkan nikotin dicampur dengan bahan lain.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkongsi statistik Tinjauan Tembakau Dewasa Global 2023 yang merekodkan 1.4 juta orang dewasa di Malaysia menggunakan rokok elektronik.

Manakala Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 merekodkan seramai 370,000 pelajar berusia 13–17 tahun sebagai pengguna vape.

“Selain itu, kes keracunan meningkat lima kali ganda sejak 2019 dengan 41 peratus daripadanya melibatkan remaja. Vape turut disalahgunakan untuk mengedar dan mengambil dadah terlarang seperti kanabis dan ketamin. Dari awal 2024 hingga Mac 2025, sebanyak 96 kertas siasatan dibuka dengan 70 peratus mengandungi unsur dadah,” kata Suhaizan.

Wan Saiful menambah, hasil kutipan cukai vape antara 2021 hingga Julai 2025 hanya berjumlah RM288.45 juta, iaitu 1.9 peratus daripada RM15.02 bilion kutipan rokok dalam tempoh sama.

Beliau berkata jurang itu wajar dikurangkan, malah mengingatkan bahawa pasaran gelap boleh menjadi ancaman sekiranya kerajaan gagal melaksanakan penguatkuasaan tegas.

“Kalau dua kotak rokok yang dijual, satu daripadanya rokok seludup. Takkan kita mahu vape jadi begitu? Jika diharamkan tanpa penguatkuasaan kukuh, keadaan lebih bahaya. Jadi kerajaan jangan hanya obses kepada pengharaman sehingga tidak mahu buat apa-apa sekarang,” katanya.

+ - reset