TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis panggil Rafidah halang tugas pegawai mahkamah kosongkan kediaman penduduk Kampung Sungai Baru

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pempengaruh dan aktivis isu Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim, dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes menghalang tugas bailiff yang diarahkan mengosongkan kediaman penduduk kampung berkenaan.

Rafidah berkata, beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini untuk dirakam keterangan oleh pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah.

“Pada 16 Julai lalu bailiff telah dihantar ke Kampung Sungai Baru, di mana saya dikatakan menghalang tugas mahkamah. Kejadian berlaku pertengahan Julai, tapi hujung Ogos baru saya dipanggil,” katanya ketika ditemui media di hadapan IPD Dang Wangi.

Menurut Rafidah, beliau kurang pasti di bawah undang-undang mana siasatan itu dijalankan.

Beliau turut memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias, yang turut dipanggil polis, tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kesihatan.

Pada 17 Julai lalu, Rafidah bersama penduduk kampung bertindak menghalang usaha pengusiran baki penduduk Kampung Sungai Baru, selepas bailiff dan pihak pemaju cuba mengosongkan rumah-rumah yang masih berpenghuni.

Isu berkenaan terus berlarutan ekoran sebahagian penduduk enggan berpindah kerana tidak bersetuju dengan nilai pampasan yang ditawarkan.

Rafidah turut mendakwa, penduduk yang enggan berpindah berdepan ugutan daripada pihak pemaju.

“Mereka akan hantar bailiff dan akan kunci rumah-rumah yang masih berpenghuni. Tapi penduduk tidak akan berganjak keluar, mereka akan terus duduk dalam rumah,” katanya.

Menurut Rafidah, pihak bailiff dijangka kembali ke kampung itu pada 11 September depan.

 

+ - reset