TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Papagomo dipenjara 30 hari kerana hina mahkamah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi dalam kes saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, mendapati Papagomo melakukan dua pelanggaran injunksi – masing-masing awal tahun ini dan Mei lalu – dengan setiap pelanggaran membawa hukuman penjara 15 hari yang diperintah berjalan secara berturut-turut.

Bagaimanapun, hukuman itu tidak dilaksanakan serta-merta apabila mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.

Antara syarat yang ditetapkan ialah Papagomo perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya 29 Ogos ini, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di Balai Polis Setapak pada awal setiap bulan sehingga semua proses rayuan selesai. Mahkamah turut mengarahkan beliau membayar kos RM30,000 dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Kes penghinaan itu berpunca daripada injunksi dikeluarkan pada 10 Januari lalu yang menghalang Papagomo daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Razarudin di media sosial.

Namun, mahkamah mendapati permohonan maaf yang dimuat naik Papagomo pada 30 April lalu tidak mematuhi arahan sebenar, sebaliknya disertakan teks laju dan muzik latar filem klasik P. Ramlee Pendekar Bujang Lapok sehingga dianggap lebih berbentuk hiburan.

Papagomo kemudiannya memuat naik video baharu sehari selepas itu untuk menjelaskan tindakannya, tetapi mahkamah menegaskan langkah tersebut tidak mencerminkan penyesalan ikhlas, sebaliknya hanya bertujuan mengelak hukuman.

Prosiding ini adalah sebahagian daripada saman fitnah bernilai RM3 juta difailkan Razarudin pada Disember tahun lalu berhubung kenyataan berbaur lucah yang didakwa mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perbicaraan penuh saman itu ditetapkan berlangsung selama empat hari pada Disember 2026. - Media Telus

+ - reset