TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RUU URA 2025 ditangguh, dibawa ke sidang akan datang

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat petang ini tidak akan diluluskan, sebaliknya ditangguhkan untuk diperhalusi sebelum dibawa semula pada persidangan akan datang.

Sumber berkata, RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua tetapi tidak dibahaskan.

"Tangguh untuk diperhalusi lagi. Akan dibawa ke sidang akan datang," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, keputusan penangguhan dibuat berikutan kebimbangan serta bantahan yang dibangkitkan, termasuk oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PKR.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan, pagi tadi memaklumkan Ahli Parlimen parti itu mahu supaya RUU PSB ditangguhkan.

Keputusan itu, katanya, dibuat selepas mereka mengadakan mesyuarat bersama Ahli Parlimen BN.

RUU berkenaan turut mencetuskan bantahan pelbagai pihak, termasuk satu himpunan di hadapan pintu masuk Parlimen minggu ini yang mendesak supaya kelulusannya tidak diteruskan.

RUU PSB pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) hari ini, RUU itu sepatutnya dibentang untuk bacaan kali kedua selepas selesai urusan RUU Pekerja Gig 2025.

Sidang Dewan Rakyat berikutnya akan berlangsung dari 6 Oktober hingga 4 Disember depan selama 35 hari.

Persidangan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas 2025 itu akan memberi tumpuan kepada pembentangan, perbahasan serta kelulusan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2026 yang dijadual dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 10 Oktober ini.

+ - reset