TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga kenderaan disita dalam Ops Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

By
|
Kongsi
image

BAYAN LEPAS 1 Sept. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang melancarkan operasi khas, Ops Ulat, bagi membanteras perkhidmatan kereta sapu yang beroperasi secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Dalam operasi tersebut, tiga kenderaan swasta iaitu Toyota Vellfire, Hyundai Starex dan Toyota Innova disita selepas didapati menawarkan perkhidmatan membawa penumpang tanpa lesen pengendali yang sah serta mengenakan caj mengikut destinasi.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, kenderaan berkenaan dirampas di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), manakala pemiliknya disiasat mengikut Seksyen 16 akta sama.

“Seksyen 16 memperuntukkan denda antara RM1,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.

JPJ negeri menegaskan tindakan penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penumpang serta membanteras aktiviti pengangkutan haram di lapangan terbang. - Media Telus

+ - reset