TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak puas hati ditahan tiada kad akses, lelaki ketuk kepala 'pak guard' dengan bata hingga cedera di Gelang Patah

By
|
Kongsi
image

 

ISKANDAR PUTERI 1 Sept – Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang pengawal keselamatan warga Nepal di sebuah pangsapuri di Gelang Patah, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 2.59 petang.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menahan suspek di lorong pelawat kerana tidak mempunyai kad akses untuk memasuki kediaman berkenaan.

“Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, suspek kemudian mengambil seketul bata dan mengetuk kepala mangsa sehingga cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri menahan suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain ujian air kencing mendapati negatif.

Suspek kini direman empat hari sehingga Khamis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya.

 

+ - reset