TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan 6 di Kedah antara ditahan positif dadah selepas bercuti di Thailand

By
|
Kongsi
image

 

BUKIT KAYU HITAM 1 Sept – Seorang pelajar perempuan tingkatan enam dari sebuah sekolah menengah di Jitra ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepas disahkan positif dadah ketika pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Remaja berusia 19 tahun itu dipercayai baru pulang bercuti dari Dannok, Thailand bersama teman lelakinya berusia 25 tahun dengan menaiki motosikal melalui sempadan darat sempena cuti Hari Kemerdekaan, semalam.

“Saya ikut teman lelaki kerana bimbang dia bawa wanita lain dan mengambil pil ekstasi di sana untuk berhibur sahaja,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Bukit Kayu Hitam, sambil memaklumkan ibu bapanya mengetahui dia ke Thailand.

Selain itu, seorang ibu tunggal berusia 30 tahun dari Pokok Sena turut ditahan bersama teman lelakinya berusia 25 tahun kerana disyaki mengambil pil ekstasi di selatan Thailand.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, operasi khas Ops Merdeka 2025 yang dijalankan sejak jam 3 petang semalam hingga 1 tengah hari tadi telah menahan 23 individu positif dadah daripada 31 yang diperiksa.

“Kesemua yang positif berusia antara 18 hingga 40 tahun, terdiri daripada 21 lelaki dan dua wanita. Kebanyakan mereka adalah pengguna kali pertama yang mengambil dadah di pusat hiburan untuk berseronok.

“Operasi ini bertujuan membanteras penyalahgunaan dadah di pintu sempadan negara, memperkukuhkan risikan serta membina profil berkaitan aktiviti penagihan, pengedaran dan penyeludupan dadah,” katanya.

Operasi itu disertai 15 anggota AADK dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

 

+ - reset