TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hospital Kemaman siap 84 peratus, lewat 8 tahun akibat masalah kewangan kontraktor - Dr Dzulkefly

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 8 Sept  – Projek pembinaan Hospital Baharu Kemaman di Kijal kini mencapai 84 peratus kemajuan, namun dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun lagi untuk disiapkan sepenuhnya selepas mengalami kelewatan hampir lapan tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kelewatan itu berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi pihak kontraktor selain lanjutan tempoh (EOT) sebanyak lapan kali diberikan sebelum ini.

Katanya, kontraktor kini dikenakan penalti kelewatan berjumlah RM2.5 juta setiap bulan.

“Penyempurnaan projek yang bermula pada November 2017 ini bergantung sepenuhnya kepada kesungguhan dan komitmen kontraktor.

“KKM akan berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana untuk menentukan hala tuju projek. Segala keputusan mengenai kontrak pula terletak di bawah bidang kuasa KKR dan JKR,” katanya dipetik Bernama.

Terdahulu, Dzulkefly melakukan lawatan tapak ke projek berkenaan dan memberi jaminan usaha akan dipergiatkan bagi memastikan hospital baharu itu dapat disiapkan demi kebajikan penduduk Kemaman yang sekian lama menantikan fasiliti kesihatan tersebut.

Projek yang diluluskan dalam Belanjawan 2016 itu bertujuan menampung kesesakan di Hospital Kemaman sedia ada di bandar Chukai, yang kini merekodkan kadar penggunaan katil melebihi 90 peratus.

 

+ - reset