TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

35 kematian akibat penyakit TB direkodkan di Kelantan sejak Januari

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU 9 Sept. – Penyakit Tuberkulosis (TB) terus menjadi kebimbangan di Kelantan apabila sebanyak 35 kematian dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata dalam tempoh sama pihaknya merekodkan 636 kes baharu TB, dengan daerah Kota Bharu kekal sebagai penyumbang tertinggi iaitu 178 kes, diikuti Pasir Mas (80 kes) dan Tumpat (75 kes).

Menurut beliau, sehingga Julai 2025 sebanyak 14 wabak TB dikesan di tujuh daerah, dengan Kota Bharu menjadi kawasan paling tinggi mencatatkan kes. Sebahagian besar penularan berlaku dalam kalangan ahli keluarga terdekat, dengan purata dua jangkitan dikesan daripada setiap kes indeks.

“Golongan berisiko di negeri ini kebanyakannya terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun ke atas, berbangsa Melayu serta mempunyai penyakit kronik seperti diabetes dan juga tabiat merokok,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bagi mengekang penularan penyakit itu, JKNK melaksanakan beberapa langkah termasuk meningkatkan kesedaran awam melalui kempen pendidikan kesihatan, menggalakkan individu yang mengalami gejala batuk berpanjangan untuk segera membuat pemeriksaan, serta menjalankan saringan awal terhadap kumpulan berisiko tinggi menggunakan kaedah diagnostik moden.

Selain itu, aspek rawatan turut diberikan perhatian dengan pemantauan ketat bagi memastikan pesakit mematuhi rejimen terapi sepenuhnya. Kapasiti petugas kesihatan di semua fasiliti juga dipertingkatkan bagi memastikan pengurusan TB lebih berkesan.

Untuk rekod, sepanjang tahun 2024, Kelantan mencatatkan 1,049 kes TB dengan 99 kematian, menunjukkan penyakit ini masih menjadi cabaran kesihatan awam utama di negeri tersebut. - Media Telus

+ - reset