TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Enam kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Hang Tuah

By
|
Kongsi
image

BUKIT BINTANG 15 Sept – Lima individu termasuk dua kanak-kanak cedera selepas enam kenderaan terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Hang Tuah, berhampiran Jalan Imbi, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada jam 10.49 malam sebelum menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah serta BBP Pudu ke lokasi.

Menurut Komander Operasi, PBK II Che Mohd Solehuddin Che Jusoh, sepasukan 13 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.

“Sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan empat kereta jenis Toyota Vios, Nissan Almera, Hyundai Staria dan Honda City serta dua bas persiaran.

“Kemalangan turut melibatkan lima mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal dan seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tambahnya, kes diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut. - Media Telus

+ - reset