TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Nak keluar untung tapi akaun disekat' - Wanita rugi lebih RM5 juta ditipu skim pelaburan kripto palsu

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 16 Sept – Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 60-an kerugian lebih RM5 juta selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud melalui platform dalam talian.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa yang bekerja dalam bidang profesional diperkenalkan dengan platform pelaburan itu menerusi Facebook dan kumpulan pelaburan dalam talian.

“Siasatan awal mendapati mangsa membuat transaksi pertama bernilai RM10,000 pada Julai 2025 dan transaksi terakhir pada Ogos 2025. Jumlah keseluruhan kerugian adalah RM5,030,970,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sindiket berkenaan menggunakan taktik memperdaya mangsa dengan memaparkan keuntungan awal dalam sistem pelaburan bagi menimbulkan keyakinan.

“Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan yang dikawal sindiket. Namun, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang pokok serta keuntungan, transaksi tidak berjaya malah akses ke platform disekat,” jelasnya.

Katanya lagi, semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengesahkan platform tersebut tidak berdaftar dan disenaraikan sebagai entiti pelaburan tidak sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Noor Hisam menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat serta mengelakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali.

 

+ - reset