TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

(VIDEO) Polis siasat insiden gaduh gara-gara lelaki berang ditegur merokok di mamak

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 14 Sept – Polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung insiden pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Seksyen 13, Shah Alam yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kejadian pada 11 September lalu kira-kira jam 11.50 malam itu melibatkan seorang wanita hamil bersama suaminya dan seorang lelaki yang sedang merokok di restoran berkenaan.

TEKAN SINI UNTUK TONTON VIDEO PENUH

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pengadu berasa tidak selesa kerana suspek merokok berhampiran sehingga suaminya menegur sebanyak tiga kali namun tidak diendahkan.

“Suspek kemudian bangun menghampiri meja pengadu dan menghembus asap rokok ke arah mangsa sehingga mencetuskan pertengkaran. Pengadu yang bimbang keselamatan suaminya turut merakam insiden berkenaan.

“Suspek bertindak menepis tangan pengadu hingga telefon bimbit terjatuh sebelum berlaku insiden tolak-menolak. Suspek kemudiannya beredar meninggalkan restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Iqbal, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di restoran berkenaan turut mengesahkan kejadian itu yang disaksikan ramai pelanggan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan aib.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 bagi membantu siasatan. - Media Telus

+ - reset