TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'You have done nothing, Jo Ghani' - Khalid Samad tuntut Johari Ghani tarik balik tuduhan, sedia berdebat isu Kampung Baru

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 17 Sept - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menuntut Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menarik balik tuduhan bahawa beliau menipu dalam isu pembangunan Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru.

Khalid berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan menjejaskan reputasinya, malah beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya Johari gagal menarik balik kenyataan tersebut.

“Saya nak minta tarik balik kenyataan saya menipu. Selain itu, saya tidak ada pilihan, sama ada awak menteri atau tidak, saya akan ambil tindakan,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Menurut Khalid, beliau tidak pernah mencampuradukkan isu pembangunan Kampung Baru dengan Kampung Sungai Baru sebagaimana yang didakwa Johari, yang kini memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Sebelum ini, tular semula rakaman video lama Johari pada 2022 yang mendakwa Khalid mengelirukan rakyat mengenai isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, ketika beliau menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Kalau dia (Johari) ambil berat tentang penduduk dan kawasan Kampung Baru ini, dia sepatutnya bersuara walaupun bukan Ahli Parlimen ketika itu. You have done nothing, Jo Ghani.

“Keduanya, dia kata pemaju cap ayam, maknanya dia tak bantah pembangunan. Cuma dia ragu kemampuan kewangan pemaju. Tapi sekarang terbukti tanggapan itu meleset sebab pemaju dah bayar pampasan semua,” jelas Khalid.

Dalam pada itu, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, menyatakan kesediaannya berdebat secara terbuka mengenai isu berkenaan.

Katanya, debat itu perlu dilaksanakan secara langsung dengan moderator yang adil serta disertai bekas Menteri Wilayah Persekutuan lain termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Saya bersedia berdebat dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Johari Ghani. Saya nak tahu semua benda yang dibuat dalam isu ini. Debat boleh dilakukan di mana saja, asalkan suasana terkawal dan adil,” katanya.

 

 

+ - reset