Berita Berita
Pulau Pinang warta 25 bandar baharu, pinda sempadan 10 bandar sedia ada

GEORGE TOWN 17 Sept – Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan pewartaan pindaan sempadan 10 bandar sedia ada serta pewujudan 25 bandar baharu yang melibatkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu diambil selaras dengan Seksyen 11(ca) dan 11(d) Kanun Tanah Negara (Akta 828) bagi menyelaras semula klasifikasi tanah desa kepada bandar supaya seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial.
“Sejak pewartaan bandar dibuat pada 1966, banyak kawasan yang masih berstatus tanah desa telah membangun dengan pesat serta mengalami peningkatan kepadatan penduduk yang ketara antaranya Bayan Baru, Bukit Jambul, Seberang Jaya, Bandar Perda, Bandar Cassia, Simpang Ampat, Telok Air Tawar dan Bertam.
“Pindaan ini penting untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran daerah dan pembangunan negeri menjelang 2030, selain mewujudkan sistem percukaian tanah yang lebih adil serta saksama,” katanya pada sidang media di Komtar, hari ini.
Berdasarkan pewartaan yang diwartakan menerusi Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No 36 bertarikh 4 September 2025, antara kawasan yang terlibat ialah:
Daerah Barat Daya: Bayan Lepas dan Balik Pulau diperluaskan, manakala empat bandar baharu diwujudkan – Bayan Baru, Batu Maung, Sungai Ara dan Pulau Silikon.
Daerah Timur Laut: Batu Ferringhi, Tanjong Bungah dan George Town diperluaskan, manakala enam bandar baharu diwujudkan termasuk Bukit Jambul, Pinang Emas dan Lembah Permai.
Daerah Seberang Perai Tengah: Bukit Mertajam diperluaskan, lima bandar baharu diwujudkan antaranya Alma dan Seberang Jaya.
Daerah Seberang Perai Selatan: Sungai Bakap dan Nibong Tebal diperluaskan, manakala empat bandar baharu diwujudkan termasuk Jawi dan Bandar Cassia.
Daerah Seberang Perai Utara: Kepala Batas dan Butterworth diperluaskan, enam bandar baharu diwujudkan termasuk Telok Air Tawar, Tasek Gelugor dan Bertam.
Chow berkata, selepas pindaan itu, Pulau Pinang kini mempunyai 42 bandar keseluruhan – terdiri daripada 10 bandar sedia ada yang diperluas sempadannya, 25 bandar baharu dan tujuh bandar kekal.
Katanya, George Town dikenal pasti sebagai Bandar Wilayah manakala tujuh kawasan lain digazetkan sebagai Bandar Utama termasuk Balik Pulau, Bayan Baru, Butterworth dan Kepala Batas.
Dalam masa sama, pindaan itu turut menyaksikan perubahan kadar cukai tanah dan cukai petak bagi pemilik hak milik bermula 2026, namun kadar cukai strata hanya berkuat kuasa pada 2027 bagi meringankan beban 300,000 pemilik strata di negeri itu.
“Kerajaan negeri telah mengambil kira pelbagai kriteria sebelum pewartaan termasuk kepadatan penduduk, faktor geografi, kawasan sensitif alam sekitar, potensi ekonomi serta sosial,” katanya.
Berita berkaitan
September 17, 2025, 6:01 pm
Lelaki ditahan rosakkan mesin ATM dengan cangkul di Pasir Gudang
September 17, 2025, 5:56 pm
Saksi dakwa Zara Qairina menangis, nafi mencuri sebelum ke tandas
September 17, 2025, 5:49 pm
Tun M hairan ramai berebut jawatan PM walau parti belum tentu menang
September 17, 2025, 5:44 pm
Ucapan tegas Anwar mengenai Palestin di Doha raih perhatian antarabangsa
September 17, 2025, 4:13 pm
Bot pancung bawa PATI rempuh aset Maritim, dua anggota cedera di perairan Negeri Sembilan
September 17, 2025, 3:42 pm