TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Saksi dakwa Zara Qairina menangis, nafi mencuri sebelum ke tandas

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 17 Sept. – Inkues kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner semalam mendengar keterangan saksi kelapan, Azhari Abd Sagap, 31, yang memaklumkan pelajarnya itu dilihat menangis dan menegaskan dirinya tidak mencuri sebelum kali terakhir menuju ke tandas.

Azhari yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha berkata, beliau menerima salinan pengakuan bertulis daripada lima pelajar selepas mengarahkan siasatan dalaman dijalankan pada 16 Julai lalu, sehari selepas Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Pada malam sebelum kejadian, seorang pelajar tingkatan satu mengadu kehilangan barang peribadi. Ketua dorm kemudian menyoal Zara, namun dia menafikan dan bersumpah ‘wallahi’.

“Pelajar lain kemudian menyelongkar beg serta lokar milik Zara dan menemui pin Jalur Gemilang kepunyaan ketua dorm. Namun Zara tetap menafikan, lalu menangis dan menjerit bahawa dia tidak mencuri,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut Azhari, maklumat yang diterima daripada pelajar menyatakan Zara keluar dari bilik sambil menangis sebelum menuju ke tandas, yang dipercayai menjadi kali terakhir dia dilihat oleh rakan-rakan asrama. - Media Telus

+ - reset