Berita Berita
Bot pancung bawa PATI rempuh aset Maritim, dua anggota cedera di perairan Negeri Sembilan

PORT DICKSON 17 Sept – Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera selepas bot ronda yang mereka naiki dirempuh sebuah bot pancung disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) berhampiran sempadan perairan Negeri Sembilan, malam Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 8 malam selepas Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan Skim Pemisahan Trafik (TSS) menuju ke perairan Tanjung Rhu, Sepang.
Katanya, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima segera dikerahkan untuk memintas bot berkenaan.
“Bagaimanapun, bot pancung dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif dengan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga menyebabkan kerosakan teruk, sebelum meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang anggota cedera di bahagian atas hidung manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kaki dan tangan akibat hentakan.
Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Port Dickson dan kini dilaporkan stabil.
Salehuddin berkata, bot pancung terbabit dipercayai berpatah keluar semula ke perairan antarabangsa selepas gagal melakukan pendaratan.
“Operasi pengesanan dan tindakan khas sedang giat dijalankan bagi menjejaki suspek serta rangkaian penyeludupan yang terlibat,” katanya.
Beliau menegaskan cubaan penyeludupan manusia melalui laut adalah ancaman serius kerana bukan sahaja menggugat keselamatan negara, malah membahayakan nyawa PATI dan anggota penguat kuasa.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan tugas anggota maritim amat berisiko tinggi kerana berdepan ancaman secara langsung di laut, termasuk kemungkinan kehilangan nyawa ketika melaksanakan amanah negara,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau pendaratan PATI diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999.
Berita berkaitan
September 17, 2025, 6:01 pm
Lelaki ditahan rosakkan mesin ATM dengan cangkul di Pasir Gudang
September 17, 2025, 5:56 pm
Saksi dakwa Zara Qairina menangis, nafi mencuri sebelum ke tandas
September 17, 2025, 5:49 pm
Tun M hairan ramai berebut jawatan PM walau parti belum tentu menang
September 17, 2025, 5:44 pm
Ucapan tegas Anwar mengenai Palestin di Doha raih perhatian antarabangsa
September 17, 2025, 4:48 pm
Pulau Pinang warta 25 bandar baharu, pinda sempadan 10 bandar sedia ada
September 17, 2025, 3:42 pm