TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ucapan tegas Anwar mengenai Palestin di Doha raih perhatian antarabangsa

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR – Mesej tegas Malaysia mengenai isu Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar mendapat perhatian positif pelbagai pihak termasuk pemerhati politik antarabangsa, sekali gus menyerlahkan keberanian sebuah negara kecil yang konsisten memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sidang kemuncak itu antara yang paling jelas dan tegas dengan saranan praktikal.

“Malaysia telah melakukan sedayanya, bukan hanya menerusi diplomasi tetapi juga advokasi luar kerangka diplomasi seperti Sumud Nusantara Flotilla yang dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri.

“Kita lihat sendiri setiap kali pertemuan dengan pimpinan dunia, Perdana Menteri pasti akan menyebut dan membangkitkan isu Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut memuji langkah berani Perdana Menteri menutup ucapannya dengan mesej luar biasa apabila mencadangkan agar hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel dihentikan.

Selain itu, Anwar turut menzahirkan sokongan terhadap misi Sumud Nusantara Flotilla yang berlayar ke Gaza membawa bantuan kemanusiaan, sekali gus membuktikan Malaysia bukan sahaja mengangkat isu Palestin melalui saluran rasmi, tetapi juga menyokong advokasi di luar kerangka diplomatik.

Mengulas mengenai Resolusi Doha, Zulkifli mengakui terdapat kelemahan namun masih wujud ruang harapan, termasuk merujuk kepada usaha solusi dua negara serta penganjuran Persidangan Solusi Dua Negara di New York pada 22 September ini.

“Kita berdoa dan berharap persidangan yang dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dan Perancis itu akan membuahkan hasil ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka,” katanya.

Beliau menegaskan, perkembangan ini menjadi pengajaran penting mengenai keperluan memperkukuh perpaduan, menjamin kestabilan serta membina kemandirian negara Islam selain memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, politik dan teknologi. - Media Telus

+ - reset