Berita Berita
Polis hadapi cabaran kesan suspek serangan anak Rafizi di Putrajaya

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berdepan kesukaran mengenal pasti suspek yang menyerang anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak jelas, sekali gus menyukarkan proses pengecaman walaupun beberapa individu dikesan menerusi rakaman berkenaan.
“Pergerakan dapat dikesan, namun wajah mereka kabur dan tidak boleh dikenal pasti dengan tepat,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada hospital mengenai jenis cecair yang disuntik ke tubuh mangsa.
Insiden itu dilaporkan berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari apabila anak Rafizi yang berusia 12 tahun ditarik seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan ketika isterinya baru masuk ke dalam kereta.
Menurut Rafizi, berdasarkan semakan awal, dua lelaki berpakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh dipercayai mengekori kenderaan isterinya dengan menaiki sebuah motosikal sebelum bertindak menyerang.
Setakat ini, polis sudah merekod keterangan beberapa saksi serta meneliti rakaman CCTV, namun belum ada tangkapan dibuat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pula mengesahkan dua individu bermotosikal dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti, namun nombor pendaftaran kenderaan digunakan didapati palsu.
Bagaimanapun, anak Rafizi dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal selepas serangan tersebut. - Media Telus
Berita berkaitan
September 17, 2025, 6:01 pm
Lelaki ditahan rosakkan mesin ATM dengan cangkul di Pasir Gudang
September 17, 2025, 5:56 pm
Saksi dakwa Zara Qairina menangis, nafi mencuri sebelum ke tandas
September 17, 2025, 5:49 pm
Tun M hairan ramai berebut jawatan PM walau parti belum tentu menang
September 17, 2025, 5:44 pm
Ucapan tegas Anwar mengenai Palestin di Doha raih perhatian antarabangsa
September 17, 2025, 4:48 pm
Pulau Pinang warta 25 bandar baharu, pinda sempadan 10 bandar sedia ada
September 17, 2025, 4:13 pm