TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lubang benam Jalan Burma: MBPP gesa IWK percepat pembaikan elak kesesakan

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 22 Sept. – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa Indah Water Konsortium (IWK) mempercepatkan kerja pembaikan paip bocor yang menyebabkan kejadian lubang benam di Jalan Burma, walaupun syarikat itu mensasarkan tempoh lima hari untuk menyiapkannya.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, kerja pembaikan perlu diselesaikan segera kerana kawasan terbabit adalah laluan utama di tengah bandar dan turut menempatkan banyak premis perniagaan serta menjadi tumpuan pelancong.

“IWK sasarkan lima hari, tetapi kita minta dipendekkan jika boleh. Penduduk dan peniaga sudah merasai kesannya, jadi kita harap ia dapat disiapkan dalam tempoh paling singkat,” katanya pada sidang akhbar di lokasi, Isnin.

Menurut beliau, kerja pengorekan bermula sejak Ahad dan dilakukan pada waktu malam bagi mengurangkan kesesakan, dengan hanya satu lorong dibuka ketika itu. Pada siang hari, dua lorong masih dibuka untuk laluan pengguna.

Lubang benam itu dikesan pada Sabtu lalu berhampiran simpang masuk ke Jalan Transfer, menyebabkan jalan berkenaan ditutup sementara dan pengguna dilencongkan ke Jalan Lim Chwee Leong.

Pemeriksaan mendapati paip asbestos simen sepanjang 13 meter perlu diganti sepenuhnya bagi mengelakkan risiko kebocoran berulang. – Media Telus

+ - reset