TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki ditahan selepas video gangguan seksual di kedai mainan tular

By
|
Kongsi
image

BALIK PULAU 22 Sept. – Seorang lelaki berusia 32 tahun diberkas polis selepas videonya tular ketika dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang pekerja wanita di sebuah kedai mainan kanak-kanak di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD).

“Suspek ditahan di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Bayan Lepas pada jam 5.58 petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Sazalee, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di stor sebuah kedai mainan kanak-kanak di Bayan Lepas.

“Mangsa diganggu secara seksual oleh seorang lelaki tidak dikenali yang cuba mengajaknya melakukan hubungan seks.

“Kejadian turut disaksikan seorang lagi pekerja wanita dan dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan,” jelasnya.

Kes berhubung kejadian itu dilaporkan oleh majikan mangsa pada 19 September lalu di Balai Polis Bayan Lepas sekitar jam 12.17 tengah hari.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

“Polis sebelum itu mengesan satu video berdurasi 30 saat dimuat naik di media sosial yang memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan. Video tersebut mendapat perhatian ramai dengan 152 tanda suka, sembilan komen dan 60 perkongsian,” katanya. - Media Telus

+ - reset