Berita Berita
'Mangsa rogol tak boleh dihukum bersama pelaku' – Guan Eng desak Ketua Polis Kelantan mohon maaf

KUALA LUMPUR 22 Sept – Penasihat DAP, Lim Guan Eng, menggesa Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, menarik semula cadangan supaya perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka turut dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, Mohd Yusoff juga perlu membuat permohonan maaf kerana cadangan tersebut disifatkan tidak sensitif terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
“Bagaimanakah perkara ini boleh dicapai jika mangsa rogol turut dihukum bersama dengan pelaku jenayah? Cadangan sebegini bukan sahaja tersasar malah menunjukkan tiadanya simpati, empati dan belas kasihan terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur yang menjadi mangsa rogol statutori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Guan Eng menegaskan, adalah lebih baik Ketua Polis Kelantan menumpukan usaha kepada langkah membendung peningkatan kes rogol dan rogol statutori di negeri itu.
Katanya lagi, cadangan tersebut jelas salah dari segi etika dan mengabaikan tanggungjawab seorang pegawai awam yang seharusnya melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan yang menjadi sasaran pemangsa seksual.
“Pegawai polis seperti Mohd Yusoff memikul tanggungjawab asas untuk mempertahankan dan melindungi masyarakat khususnya golongan lemah dan rakyat yang mematuhi undang-undang terutama wanita, kanak-kanak dan golongan yang mudah terdedah daripada penjenayah dan pemangsa seksual,” ujarnya.
Terdahulu, Mohd Yusoff dipetik media sebagai berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana hasil siasatan mendapati hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak, bukan paksaan.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata terdapat sebab umur sah memberi persetujuan ditetapkan pada 16 tahun, dan mengapa undang-undang menganggap hubungan seks dengan individu bawah umur walaupun secara sukarela tetap dikira sebagai rogol statutori.
Menurut beliau, undang-undang itu digubal bagi melindungi kanak-kanak perempuan daripada eksploitasi seksual memandangkan usia mereka yang masih muda serta ketidakmatangan dalam membuat keputusan.
“Tujuan undang-undang ini adalah jelas. Peruntukan liabiliti ketat bukan sahaja wujud di Malaysia malah di hampir semua negara, dengan hanya perbezaan dari segi umur sah untuk memberi persetujuan.
"Apa yang membuatkan Malaysia begitu berbeza sehingga mangsa perlu dihukum hanya kerana memberi persetujuan sedangkan dari segi undang-undang, dia tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian?” soalnya.
Berita berkaitan
September 22, 2025, 9:40 pm
Tambang RM60 jadi RM800, insiden 'ulat teksi' tipu pelancong asing cemar imej negara - Anthony Loke
September 22, 2025, 5:37 pm
Subsidi BUDI95: Tak perlu risau, kerajaan tanggung kos tukar cip MyKad rosak
September 22, 2025, 5:12 pm
Dua polis dipenjara, denda terima rasuah RM800 daripada polis lain sebagai habuan tak lapor kesalahan khalwat
September 22, 2025, 4:56 pm
Pendakwa Raya dakwa mahkamah terkhilaf lepaskan Syed Saddiq, kemuka 28 alasan
September 22, 2025, 4:33 pm
Lelaki ditahan selepas video gangguan seksual di kedai mainan tular
September 22, 2025, 4:20 pm
JPJ saman 48 pemandu 'tak sabar' guna lorong kecemasan di Seremban
September 22, 2025, 4:19 pm
PDRM hargai pelaksanaan Budi95, anggap bukti keprihatinan kerajaan
September 22, 2025, 4:11 pm
Warga emas didenda RM2,500 kerana cubit pipi wanita
September 22, 2025, 4:01 pm