TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Subsidi BUDI95: Tak perlu risau, kerajaan tanggung kos tukar cip MyKad rosak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kerajaan mengambil langkah menanggung sepenuhnya kos penukaran cip MyKad rosak di seluruh negara bagi memastikan rakyat tidak berdepan masalah menikmati subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kemudahan itu boleh didapati secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mulai 23 September hingga 7 Oktober depan.

“Kerajaan prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, caj pemprosesan sebanyak RM10 dikenakan untuk setiap pertukaran MyKad akibat kerosakan cip.

Menurut rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak direkodkan antara Januari hingga Ogos 2025, dengan trend menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan ini. Pada Jun, 32,819 permohonan dicatatkan, meningkat kepada 40,371 pada Julai dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos.

Bagi bulan September sehingga 21 haribulan, sebanyak 22,858 permohonan telah diterima.

“Berdasarkan purata dua bulan terkini, JPN menganggarkan sekitar 43,000 cip MyKad rosak setiap bulan. Kos keseluruhan bagi penukaran percuma ini dianggarkan mencecah RM714,660 termasuk kos lain yang berkaitan,” jelas Saifuddin.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya menjaga MyKad dengan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95.

Saifuddin menegaskan bahawa kerajaan berpegang pada prinsip kepedulian dan inklusiviti bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada manfaat yang dijanjikan. - Media Telus

 

 

+ - reset