Berita Berita
Pendakwa Raya dakwa mahkamah terkhilaf lepaskan Syed Saddiq, kemuka 28 alasan

PUTRAJAYA 22 Sept - Pendakwa Raya hari ini mengemukakan sebanyak 28 alasan bagi menyokong rayuan agar Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan.
Petisyen rayuan itu difailkan sekitar jam 2 petang dengan menamakan Syed Saddiq sebagai responden, selepas Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu sebulat suara membenarkan rayuannya berhubung empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin sebelum ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat, malah sabitan oleh Mahkamah Tinggi dianggap tidak selamat.
Namun, dalam petisyen baharu, pendakwaan berhujah bahawa hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam undang-undang dan fakta, antaranya apabila membuat tuduhan bahawa pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tekanan kepada saksi utama, bekas Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali.
“Walhal tiada keterangan menyokong tuduhan itu. Hakim juga terkhilaf apabila menolak keterangan SP13, sedangkan secara keseluruhan ia konsisten dan benar,” kata petisyen itu.
Pendakwaan turut menegaskan, keterangan saksi utama membuktikan wujud arahan berhubung pengeluaran dana RM1 juta milik ARMADA pada 6 Mac 2020, selain penyaluran sebahagian wang ke akaun pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) atas nama Syed Saddiq.
Antara 28 alasan yang dikemukakan, 15 melibatkan pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan berkaitan salah guna harta mengikut Seksyen 403, manakala empat lagi membabitkan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pendakwa Raya turut menegaskan, Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila menganggap sabitan pengubahan wang haram tidak boleh berdiri tanpa kesalahan predikat, sedangkan peruntukan Seksyen 4(1)(b) itu boleh berfungsi secara berdikari.
Dalam hujah lanjut, pendakwaan berkata dana RM120,000 yang digunakan Syed Saddiq untuk kempen pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai hak mutlak beliau kerana ia dikutip khas untuk parti, justeru tidak wajar dimasukkan ke dalam akaun peribadi.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan berkenaan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta. Namun, Mahkamah Rayuan membebaskannya pada 25 Jun lalu setelah berpendapat perbuatan mengarahkan pengeluaran wang tidak memenuhi elemen actus reus jenayah.
Syed Saddiq, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, sebelum ini didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim membabitkan dana ARMADA berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan harta sebanyak RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM50,000 yang dipindahkan ke akaun ASB miliknya.
Pendakwa Raya kini memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan sabitan serta hukuman asal yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Berita berkaitan
September 22, 2025, 9:40 pm
Tambang RM60 jadi RM800, insiden 'ulat teksi' tipu pelancong asing cemar imej negara - Anthony Loke
September 22, 2025, 9:26 pm
'Mangsa rogol tak boleh dihukum bersama pelaku' – Guan Eng desak Ketua Polis Kelantan mohon maaf
September 22, 2025, 5:37 pm
Subsidi BUDI95: Tak perlu risau, kerajaan tanggung kos tukar cip MyKad rosak
September 22, 2025, 5:12 pm
Dua polis dipenjara, denda terima rasuah RM800 daripada polis lain sebagai habuan tak lapor kesalahan khalwat
September 22, 2025, 4:33 pm
Lelaki ditahan selepas video gangguan seksual di kedai mainan tular
September 22, 2025, 4:20 pm
JPJ saman 48 pemandu 'tak sabar' guna lorong kecemasan di Seremban
September 22, 2025, 4:19 pm
PDRM hargai pelaksanaan Budi95, anggap bukti keprihatinan kerajaan
September 22, 2025, 4:11 pm
Warga emas didenda RM2,500 kerana cubit pipi wanita
September 22, 2025, 4:01 pm