Berita Berita
Anwar hargai jasa Tun M perjuang sokong Timor-Leste sertai ASEAN
DILI (TIMOR-LESTE) 24 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperjuangkan keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, selain merakamkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas sokongan berterusan sejak era pra-kemerdekaan negara itu.
Dalam ucapan bersejarah di Parlimen Nasional Timor-Leste hari ini, Anwar berkata Malaysia konsisten menyokong perjuangan negara berkenaan sejak awal usaha mereka menuntut kemerdekaan.
“Ramai di antara anda menyebut mengenai zaman pra dan pascakemerdekaan ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Beliau menunjukkan pendirian yang begitu konsisten dalam ucapannya.
"Dan saya merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya kini untuk memastikan proses kemasukan (Timor-Leste ke dalam ASEAN) berjalan lancar,” katanya.
Ketibaan Anwar pada jam 8.55 pagi disambut Presiden Parlimen Nasional Timor-Leste, Maria Fernanda Lay, sebelum beliau diberi penghormatan menyampaikan ucapan pada jam 9 pagi.
Ucapan itu dianggap simbol penghormatan besar kepada Malaysia, selain mencerminkan hubungan dua hala yang semakin erat dan penuh keyakinan.
Anwar memuji demokrasi Timor-Leste yang disifatkan sebagai inspirasi rantau ini kerana berjaya mengharungi cabaran, diskriminasi serta kesusahan sehingga mampu berdiri megah sebagai sebuah negara merdeka.
“Parlimen adalah nadi kepada demokrasi dan sebuah institusi yang harus dihargai serta dipelihara dengan selamat. Saya memuji Timor-Leste kerana ketabahan, keberanian dan keyakinan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan tiada sebab untuk menangguhkan proses kemasukan negara itu ke ASEAN.
“Dengan apa jua cara, saya mesti meyakinkan semua kerajaan dan pemimpin ASEAN serta menggunakan segala sumber yang saya miliki untuk memastikan Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN. Inilah komitmen teguh Malaysia,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Selain itu, Anwar memberi jaminan syarikat Malaysia yang melabur di Timor-Leste akan melakukannya dengan penuh tanggungjawab berasaskan perkongsian dan manfaat bersama, bukan eksploitasi seperti yang sering dikaitkan dengan syarikat multinasional.
Beliau turut mengimbau peranan Presiden Dr Jose Ramos-Horta yang lantang memperjuangkan kebebasan dan keadilan di peringkat antarabangsa, termasuk ketika Anwar sendiri berdepan cabaran politik.
“Siapa yang bersuara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Bukan kuasa besar, tetapi suara pemimpin kecil seperti Ramos-Horta. Saya menyanjung anda atas keberanian itu,” ujarnya.
Menurut Anwar, sokongan Malaysia terhadap Timor-Leste bukan hanya bersifat diplomatik, sebaliknya berlandaskan persahabatan tulus.
“Kita bukan hadir sebagai wakil sebuah kerajaan, tetapi sebagai rakan seperjuangan – untuk berkongsi rasa, aspirasi dan bersama-sama membina kemajuan,” katanya.
Berita berkaitan
April 17, 2026, 11:53 pm
ADUN Sentosa puji Pakej Daya Tahan RM131 juta, langkah proaktif perkukuh ekonomi Selangor
April 17, 2026, 11:26 pm
HRD Corp selesai penstrukturan semula, kini fokus pelaksanaan, perkukuh tadbir urus
April 17, 2026, 7:37 pm
Dua beradik warga emas maut, kereta bertembung van di Kuala Kangsar
April 17, 2026, 7:32 pm
PM tegaskan pendirian Malaysia terhadap Israel dalam temubual bersama Sneako
April 17, 2026, 7:28 pm
MARA taja pengajian lepasan SPM yatim piatu, ringankan beban keluarga
April 17, 2026, 7:24 pm
FELCRA nafi kaitan dengan penemuan 26 tong bahan kimia di Jempol
April 17, 2026, 6:28 pm
KBS perluas akses pembangunan sukan belia di pedalaman Sarawak - Mordi
April 17, 2026, 3:21 pm
Malaysia utamakan kegunaan rakyat, pertimbang beri diesel pada Australia jika ada lebihan
April 17, 2026, 3:16 pm
