Berita Berita
TMJ kongsi dakwaan wujud sabotaj kebangkitan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Bola sepak negara kini berdepan persoalan besar apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) berkongsi satu tangkap layar laporan portal sukan yang mendakwa wujud entiti luar cuba mensabotaj projek kebangkitan Harimau Malaya.
Perkongsian itu dimuat naik menerusi Instagram Story baginda, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kewujudan pihak tertentu yang dikatakan berusaha menggagalkan usaha memperkukuh skuad kebangsaan.
Menurut laporan portal berkenaan, entiti dari luar negara itu didakwa kurang senang melihat kebangkitan pasukan Malaysia dan mempunyai hubungan rapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Walaupun TMJ tidak menamakan mana-mana pihak, perkongsian tersebut memberi bayangan bahawa dakwaan itu mempunyai asas.
Sebagai arkitek utama revolusi bola sepak negara, TMJ menjadi penggerak dalam pembaharuan skuad Harimau Malaya sejak awal tahun ini dengan menekankan aspek profesionalisme, kepakaran luar negara serta penambahan pemain warisan.
Hasilnya, skuad kebangsaan mula menunjukkan impak positif apabila mendahului Kumpulan F Kelayakan Piala Asia dengan dua kemenangan awal, termasuk menamatkan kemarau 11 tahun menewaskan Vietnam. Malaysia turut mencatat kejayaan dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila mengatasi Palestin, pasukan yang berada di ranking lebih tinggi.
Perkongsian TMJ itu segera menarik perhatian penyokong bola sepak tanah air yang menganggap ia sebagai amaran terhadap sebarang cubaan luar untuk merencatkan kebangkitan Harimau Malaya.
Revolusi yang diterajui baginda kini dilihat sebagai tonggak penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan Malaysia di pentas Asia, menjadikan dakwaan sabotaj ini sesuatu yang wajar dipandang serius oleh pihak berkaitan. - Media Telus
Berita berkaitan
September 26, 2025, 10:14 pm
Israel ugut serang, tahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla
September 26, 2025, 10:01 pm
Budak 12 tahun cedera perut tertusuk besi pengayuh basikal di Baling
September 26, 2025, 9:00 pm
Beberapa bot tarik diri, misi GSF ke Gaza terpaksa dirombak
September 26, 2025, 8:30 pm
Anwar janji umum sesuatu yang baik untuk Sabah pada Belanjawan 2026
September 26, 2025, 7:19 pm
MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di tujuh negeri
September 26, 2025, 2:23 pm