Berita Berita
Anwar janji umum sesuatu yang baik untuk Sabah pada Belanjawan 2026

KOTA KINABALU 26 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi bayangan akan ada pengumuman penting khusus untuk Sabah pada pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadual berlangsung 10 Oktober depan.
Anwar berkata, kerajaan pimpinannya mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu yang baik demi rakyat, berbeza dengan pendekatan pentadbiran terdahulu.
“Belanjawan negara, insya-Allah saya akan umum untuk Malaysia, untuk Sabah akan ada pengumuman yang baik pada 10 Oktober ini.
“Masa ada kuasa dulu, sibuk cari harta, tengok balak, tengok tanah, projek bagi anak, bagi isteri kaya. Bila tiada kuasa, marah sana sini. Tapi sekarang, bila kita ada kuasa, masa itulah kita gunakan untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, walaupun beliau bukan anak jati Sabah, namun negeri itu menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah Malaysia di bawah pentadbirannya.
Beliau turut mengumumkan kelulusan permintaan lama Sabah dan Sarawak untuk menambah kerusi Parlimen di kedua-dua negeri itu, sesuatu yang katanya diperjuangkan sejak 1963.
“Dengar baik-baik, siapa yang janji tambah kerusi Sabah dan Sarawak, siapa yang luluskan? Perdana Menteri sekarang yang luluskan,” katanya disambut tepukan hadirin.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat mengharungi tekanan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain kenaikan gaji penjawat awam.
“STR sahaja berjumlah RM15 bilion, manakala tambahan gaji penjawat awam tahun ini RM10 bilion dan tahun depan akan meningkat kepada RM18 bilion,” katanya.
Berita berkaitan
September 26, 2025, 10:14 pm
Israel ugut serang, tahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla
September 26, 2025, 10:01 pm
Budak 12 tahun cedera perut tertusuk besi pengayuh basikal di Baling
September 26, 2025, 9:00 pm
Beberapa bot tarik diri, misi GSF ke Gaza terpaksa dirombak
September 26, 2025, 7:19 pm
MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di tujuh negeri
September 26, 2025, 2:31 pm
TMJ kongsi dakwaan wujud sabotaj kebangkitan Harimau Malaya
September 26, 2025, 2:23 pm