Berita Berita
Israel ugut serang, tahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla

KUALA LUMPUR 26 Sept - Media rasmi Israel dilaporkan mengumumkan rancangan melancarkan serangan terhadap kapal-kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan semua sukarelawan yang terbabit.
Menurut laporan yang disiarkan di Saluran 12, rejim Zionis itu akan mengerahkan pasukan komando elit laut mereka, Shayetet 13, yang terkenal dengan kepakaran operasi ketenteraan, kerahsiaan identiti serta tindakan keras tanpa belas kasihan.
Israel turut mendakwa bahawa selepas kapal-kapal GSF ditawan, semua sukarelawan akan ditahan dan dipindahkan ke sebuah penjara terapung terbesar di dunia, iaitu kapal khas yang dijadikan pusat penahanan.
Pada masa sama, rejim itu memberi amaran bahawa para sukarelawan GSF akan dipenjara dalam tempoh lama sekiranya mereka berkeras untuk meneruskan pelayaran ke Gaza, selain bot-bot ditenggelamkan atau diambil alih sebagai aset tentera laut Israel.
Bagaimanapun, rata-rata peserta GSF membalas ancaman itu dengan memuat naik hantaran di media sosial, menegaskan mereka tetap komited meneruskan pelayaran menembusi sekatan Israel demi memastikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza.
“Kami serahkan segala-galanya kepada mu ya Allah. Teruskan bercakap tentang Gaza. Mohon doa semua,” kata seorang peserta GSF dari delegasi Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia akan mengutamakan usaha koordinasi keselamatan dengan kerjasama negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan semua 34 peserta delegasi Malaysia selamat dibawa pulang.
Media sebelum ini melaporkan kapal-kapal flotila kini berada pada jarak kurang daripada 1,000 kilometer (bersamaan 621 batu) dari Semenanjung Gaza, sementara mereka masih meneruskan misi mencabar sekatan lama rejim Zionis.
Berita berkaitan
September 26, 2025, 10:01 pm
Budak 12 tahun cedera perut tertusuk besi pengayuh basikal di Baling
September 26, 2025, 9:00 pm
Beberapa bot tarik diri, misi GSF ke Gaza terpaksa dirombak
September 26, 2025, 8:30 pm
Anwar janji umum sesuatu yang baik untuk Sabah pada Belanjawan 2026
September 26, 2025, 7:19 pm
MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di tujuh negeri
September 26, 2025, 2:31 pm
TMJ kongsi dakwaan wujud sabotaj kebangkitan Harimau Malaya
September 26, 2025, 2:23 pm