TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Beberapa bot tarik diri, misi GSF ke Gaza terpaksa dirombak

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Sept - Misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza berdepan cabaran apabila beberapa bot terpaksa menarik diri daripada pelayaran ketika tiba di selatan perairan Greece semalam.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein, berkata tindakan itu menyebabkan penganjur perlu melakukan rombakan besar terhadap susunan bot dan penempatan sukarelawan.

“Sepatutnya kita terus belayar tanpa berhenti di Greece, tetapi ada kapten bersama pembantu mereka menarik diri. Penganjur kini sedang atur semula penumpang ke bot lain termasuk bot yang saya naiki.

“Sebuah bot keluarga juga dilaporkan rosak dan tidak dapat dibaiki. Kemungkinan besar penghuninya perlu dipindahkan kerana bot itu tidak boleh bergerak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Setakat tengah hari semalam (waktu Laut Mediterranean), hampir 30 bot berada dalam konvoi tersebut, namun jumlah sebenar bot dan peserta yang kekal masih belum dapat dipastikan.

GSF membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan ke Gaza dan dijadualkan tiba di perairan wilayah berkenaan hujung bulan ini. Misi ini menghimpunkan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.

Malaysia menghantar 34 sukarelawan di bawah panji Sumud Nusantara, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Mereka kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning sebelum meneruskan perjalanan ke Gaza.

 

+ - reset