Berita Berita
'Saya sendiri akan pantau projek setiap minggu' - Anthony Loke mahu tempoh Lapangan Terbang Tawau dinaiktaraf ikut jadual

TAWAU 26 Sept - Lapangan Terbang Tawau bakal dinaik taraf dengan kos RM120.9 juta dan dijadual siap dalam tempoh 36 bulan, menjelang 2028, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk strategik ke Kalimantan Timur, Indonesia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan melalui penyediaan fasiliti moden dan selesa.
"Penting (untuk) kontraktor siapkan (projek) tepat masa... saya akan pantau projek ini dan setiap minggu saya akan minta laporan kemajuan semasa mesyuarat pasca Kabinet," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau hari ini.
Beliau menegaskan projek itu akan dijalankan secara berfasa tanpa mengganggu operasi harian lapangan terbang, dan kontraktor perlu merancang pembinaan mengikut jadual serta integrasi dengan operasi sedia ada. Projek yang dikendalikan syarikat pembinaan tempatan Sabah itu merangkumi peningkatan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta orang setahun.
Selain itu, ia juga melibatkan penambahan jambatan udara, penambahbaikan apron pesawat, menaik taraf sistem penyaman udara, kaunter daftar masuk serta kemudahan awam seperti tandas.
"Elemen penting naik taraf ini juga adalah penyediaan kawasan daftar masuk imigresen dan e-Imigresen antara penerbangan domestik dan antarabangsa yang selesa serta selamat, yang mematuhi piawaian antarabangsa.
"Pada masa ini, pemeriksaan imigresen bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dilakukan di tempat yang sama menyebabkan berlaku kekeliruan, dan dikhuatiri terdapat penumpang yang terlepas daripada pemeriksaan," katanya.
Beliau berkata penaiktarafan lapangan terbang itu akan memperkukuh lagi agenda Malaysia MADANI melalui pembangunan infrastruktur inklusif dan mapan.
Pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau di Sabah dan Lapangan Terbang Miri di Sarawak dengan kos RM235 juta.
Berita berkaitan
September 26, 2025, 10:14 pm
Israel ugut serang, tahan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla
September 26, 2025, 10:01 pm
Budak 12 tahun cedera perut tertusuk besi pengayuh basikal di Baling
September 26, 2025, 9:00 pm
Beberapa bot tarik diri, misi GSF ke Gaza terpaksa dirombak
September 26, 2025, 8:30 pm
Anwar janji umum sesuatu yang baik untuk Sabah pada Belanjawan 2026
September 26, 2025, 7:19 pm
MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di tujuh negeri
September 26, 2025, 2:31 pm
TMJ kongsi dakwaan wujud sabotaj kebangkitan Harimau Malaya
September 26, 2025, 2:23 pm