TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Budak 12 tahun cedera perut tertusuk besi pengayuh basikal di Baling

By
|
Kongsi
image

 

BALING 26 Sept - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera di bahagian perut selepas tertusuk besi pengayuh basikal dalam satu kejadian di Jalan Charok Bemban, Kampung Charok Sikin, di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.30 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Juhairi Osman bersama enam anggota sebaik tiba di lokasi mendapati mangsa masih menahan kesakitan dengan besi pengayuh tercucuk pada perutnya.

"Mangsa dipercayai terjatuh dari basikal sebelum besi pengayuh tertusuk pada bahagian perutnya.

"Bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk memotong besi pengayuh basikal itu dengan menggunakan peralatan khas.

"Operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak pendarahan dan luka dalaman pada kanak-kanak itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkhairi berkata, selepas besi berjaya dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut, manakala operasi tamat pada jam 6.17 petang.

+ - reset