Berita Dunia
Flotila Global Sumud dijangka dipintas tentera Israel dalam masa terdekat
BRUSSELS 1 Okt. – Kapal-kapal Flotila Global Sumud yang dalam pelayaran ke Gaza kini bersiap sedia menghadapi kemungkinan disekat tentera Israel ketika menghampiri zon berisiko tinggi di timur Laut Mediterranean.
Menurut laporan akhbar Itali La Stampa pada Selasa, dua kapal flotila, Jeannot III dan Estrella, dijangka tiba dalam masa tiga hari, namun aktivis memberi amaran misi itu boleh berdepan campur tangan Israel dalam beberapa jam sahaja lagi.
“Kami kini berada kira-kira 200 batu dari Gaza. Kemungkinan besar malam ini atau esok, kami akan dipintas tentera Israel,” kata Presiden Kesatuan Komuniti Islam Itali (UCOII), Yassine Lafram, yang kini berada di atas Kapal Karma.
Beliau menyifatkan sebarang tindakan Israel sebagai lanun serta penculikan yang melanggar undang-undang antarabangsa, sambil menegaskan flotila bertekad menghantar bantuan kemanusiaan dan memecahkan sekatan ke atas Gaza.
Flotila Global Sumud melibatkan kira-kira 50 kapal dengan lebih 500 aktivis dari pelbagai negara, berlayar awal bulan ini membawa bantuan perubatan ke Gaza.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah meragut lebih 66,000 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan kebuluran besar-besaran di wilayah terbabit. - Media Telus
Berita berkaitan
June 11, 2026, 10:47 am
Iran umum Selat Hormuz ditutup sepenuhnya selepas serangan baharu AS
June 10, 2026, 9:44 pm
Kontraktor Colombia didakwa terlibat sokong RSF dalam konflik Sudan - HRW
June 10, 2026, 6:26 pm
Harga runcit petrol RON95, diesel tanpa subsidi dikekalkan bagi tempoh 11 hingga 17 Jun 2026
June 5, 2026, 2:48 pm
Brunei rombak kabinet, Putera Abdul Mateen dilantik Menteri Hal Ehwal Luar
June 4, 2026, 8:56 am
Korban wabak campak di Bangladesh cecah 601 nyawa, lebih 83,000 kes direkodkan
May 18, 2026, 5:19 pm
