TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiada halangan daftar SUV sebagai e-hailing – Loke

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Okt – Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan bahawa kenderaan utiliti sukan (SUV) tidak boleh didaftarkan sebagai kenderaan e-hailing.

Menterinya, Anthony Loke, berkata tiada sebarang perubahan dasar dibuat berkaitan kelayakan jenis kenderaan yang boleh digunakan dalam perkhidmatan e-hailing.

“Semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO).

“Untuk makluman, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin, dilaporkan berkata pengecualian SUV sebagai kenderaan diluluskan dalam pelesenan e-hailing menimbulkan kebimbangan lebih 10,000 pemandu terhadap sumber pendapatan mereka.

Masrizal turut mendakwa pemandu SUV kini berdepan masalah dalam mengemas kini permit e-hailing masing-masing.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata beliau memahami kebimbangan dalam kalangan pemandu dan syarikat pengendali e-hailing.

“Kementerian memberi jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada,” katanya.

+ - reset