Berita Berita
KKM bentang cadangan haramkan sepenuhnya vape tahun ini

KUALA LUMPUR 7 Okt – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet tahun ini bagi mendapatkan kelulusan dasar untuk pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape di Malaysia.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata langkah itu penting bagi melindungi kesihatan awam, khususnya golongan muda yang semakin terdedah kepada bahaya penggunaan vape.
“Sememangnya KKM bertanggungjawab dan sedar akan desakan ibu bapa, media, pemimpin setempat serta Ahli Parlimen yang mahu pengharaman sepenuhnya terhadap vape.
“Kita pernah berusaha menggubal peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) sebelum ini, namun Ahli Parlimen mempunyai pandangan berbeza terhadap pengharaman keseluruhan vape. Maka lahirlah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024), yang akan digunakan bagi memperkukuh penguatkuasaan secara konsisten,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (BEBAS–Tanjong Karang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Lukanisman berkata, nikotin masih tertakluk di bawah Akta Racun 1952, dengan pengecualian sebelum ini diberikan bagi cecair atau gel yang mengandungi nikotin untuk tujuan merokok.
Namun kini, semua cecair rokok elektronik dan produk vape dikawal di bawah Akta 852, termasuk aspek pendaftaran, pengiklanan, penjualan, pembungkusan, pelabelan, kawalan harga serta pengilangan.
“Menurut Seksyen 3 Akta 852, semua produk merokok mesti didaftarkan dengan KKM sebelum diimport, dikilang atau diedarkan. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh dikenakan denda, penjara, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi mengekang penyalahgunaan dalam kalangan kanak-kanak, Seksyen 13(3) dan Seksyen 17 akta sama memperuntukkan larangan pembelian serta penggunaan produk merokok oleh individu bawah umur, manakala Seksyen 10 melarang penjualan dalam talian.
“KKM akan terus memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta 852 dengan lebih tegas demi menjamin masa depan kesihatan rakyat,” katanya.
Berita berkaitan
October 7, 2025, 3:46 pm
Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena esok
October 7, 2025, 3:39 pm
MP PN gesa Tiong King Sing mohon maaf, letak jawatan isu hidangan arak
October 7, 2025, 3:32 pm
23 aktivis misi Global Sumud Flotilla tiba di tanah air malam ini
October 7, 2025, 3:28 pm
Lebih 31,000 rakyat baharu layak terima subsidi BUDI95 – MoF
October 7, 2025, 3:21 pm
Kakitangan FAM tersilap muat naik dokumen pemain warisan – FAM
October 7, 2025, 1:19 pm
Anwar beri amaran keras kepada MOTAC isu hidang arak di majlis rasmi
October 7, 2025, 1:10 pm
Tiada halangan daftar SUV sebagai e-hailing – Loke
October 7, 2025, 1:05 pm