Berita Berita
'Kenapa perlu tetapkan peperiksaan terlalu dekat dengan Deepavali' - Ahli Parlimen Klang gesa KPM susun semula jadual

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Ahli Parlimen Klang, YB Ganabatirau Veraman menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan institusi pengajian tinggi supaya menyusun semula jadual peperiksaan agar tidak bertindih dengan sambutan Deepavali, demi memastikan keadilan dan rasa hormat terhadap semua komuniti di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa setiap tahun jutaan rakyat Malaysia menyambut Deepavali dengan penuh kegembiraan sebagai waktu untuk keluarga berkumpul dan meneruskan tradisi turun-temurun.
Namun, katanya, ramai pelajar sekolah dan universiti terpaksa menghadapi peperiksaan sebelum, semasa dan selepas Deepavali, sekali gus menjejaskan semangat perayaan.
“Tahun ini, peperiksaan di sekolah bermula seawal 6 Oktober atau 13 Oktober, manakala di universiti pula penilaian dijalankan sepanjang bulan Oktober.
"Memandangkan Deepavali jatuh pada Isnin, 20 Oktober, ramai pelajar akan berdepan peperiksaan sehingga minggu perayaan, malah ada yang perlu menyambung semula hanya tiga hari selepasnya,” katanya.
Menurut beliau, situasi ini menimbulkan persoalan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar mengapa peperiksaan mesti dijalankan berdekatan dengan Deepavali, sedangkan ia boleh diselesaikan lebih awal atau dijadualkan selepas sambutan tersebut.
Ganabatirau turut menegaskan bahawa ketidakseimbangan ini semakin ketara apabila dibandingkan dengan perayaan besar lain di negara berbilang kaum ini, yang mana cuti seminggu penuh sering diberikan untuk membolehkan keluarga pulang ke kampung dan menyambut perayaan tanpa tekanan.
“Namun bagi Deepavali, cuti sering terhad kepada satu hingga tiga hari sahaja. Perbezaan ini menimbulkan persoalan serius tentang keadilan dalam cara kita melayani anak-anak dari pelbagai komuniti,” ujarnya.
Tambah beliau, peperiksaan bukan sekadar rutin akademik, sebaliknya acara bertekanan tinggi yang memerlukan fokus dan kestabilan mental.
Oleh itu, menetapkan jadual peperiksaan terlalu hampir dengan Deepavali menyebabkan pelajar tertekan antara tanggungjawab akademik dan keinginan menyambut perayaan bersama keluarga.
“Keluarga juga tidak dapat meraikan Deepavali sepenuhnya apabila anak-anak mereka perlu kembali menumpukan perhatian kepada ulang kaji sejurus selepas perayaan,” katanya lagi.
Ganabatirau berkata, isu ini bukan perkara baharu kerana ia berulang setiap tahun dan terus menimbulkan kekecewaan dalam kalangan keluarga India di seluruh negara.
“Kita perlu bertanya dengan jujur adakah sistem pendidikan kita benar-benar mengutamakan keadilan dan keterangkuman, atau tanpa sedar kita telah meminggirkan keperluan budaya serta agama satu komuniti?” katanya.
Beliau menyeru agar Kementerian Pendidikan dan institusi pengajian tinggi meneliti semula jadual peperiksaan serta memperluas cuti sekolah dan universiti sekitar Deepavali sekurang-kurangnya selama seminggu, supaya pelajar tidak berada dalam dilema antara warisan budaya dan pelajaran mereka.
“Malaysia berbangga sebagai negara harmoni dan berbilang budaya. Keharmonian itu mesti turut tercermin dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak kita tidak sepatutnya merasa bahawa sambutan mereka dianggap kecil atau perlu dikorbankan demi jadual akademik,” tegasnya.
Ganabatirau menegaskan bahawa sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak membetulkan ketidakseimbangan ini, sambil menekankan bahawa keadilan, rasa hormat dan keterangkuman perlu menjadi asas kepada dasar pendidikan negara.
“Anak-anak kita berhak mendapat layanan yang adil dan penuh penghormatan,” katanya. - Media Telus
Berita berkaitan
October 7, 2025, 3:46 pm
Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena esok
October 7, 2025, 3:39 pm
MP PN gesa Tiong King Sing mohon maaf, letak jawatan isu hidangan arak
October 7, 2025, 3:32 pm
23 aktivis misi Global Sumud Flotilla tiba di tanah air malam ini
October 7, 2025, 3:28 pm
Lebih 31,000 rakyat baharu layak terima subsidi BUDI95 – MoF
October 7, 2025, 3:21 pm
Kakitangan FAM tersilap muat naik dokumen pemain warisan – FAM
October 7, 2025, 1:33 pm
KKM bentang cadangan haramkan sepenuhnya vape tahun ini
October 7, 2025, 1:19 pm
Anwar beri amaran keras kepada MOTAC isu hidang arak di majlis rasmi
October 7, 2025, 1:10 pm
Tiada halangan daftar SUV sebagai e-hailing – Loke
October 7, 2025, 1:05 pm