Berita Berita
Anwar beri amaran keras kepada MOTAC isu hidang arak di majlis rasmi

KUALA LUMPUR 7 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi amaran tegas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, serta kementeriannya agar tidak mengulangi kesilapan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan.
Anwar berkata, penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas acara rasmi tamat adalah tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan menetapkan larangan sepenuhnya terhadap hidangan arak dalam program rasmi.
“Penjelasan MOTAC ialah minuman keras dihidangkan selepas acara rasmi, tetapi majlis itu tetap berlangsung di tempat dan program yang sama. Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu menyebut program rasmi telah berakhir. Ia tetap tidak wajar sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada BERNAMA dan RTM di Kompleks Bunga Raya, Kuala Lumpur, selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif, yang menamatkan lawatan rasminya ke Malaysia.
Terdahulu, tular gambar memaparkan acara Global Travel Meet 2025 Gala Dinner yang didakwa di bawah anjuran Tourism Malaysia, memaparkan hidangan minuman beralkohol. King Sing sebelum ini menjelaskan, hidangan itu disediakan oleh pihak industri dan sektor swasta yang menaja majlis tersebut bagi meraikan rakan industri antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan acara selama dua hari setengah itu berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta hasil inisiatif sektor swasta.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan akan membawa isu berkenaan ke mesyuarat Kabinet dan menegaskan UMNO menolak sepenuhnya tindakan tersebut.
“Saya sendiri akan membawa ke mesyuarat Jemaah Menteri atas ketidaksetujuan UMNO. Sebagai Presiden parti, kita menolak 100 peratus,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Zahid menyifatkan tindakan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan sebagai tidak wajar serta bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam, selain tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan agama Persekutuan.
Berita berkaitan
October 7, 2025, 3:46 pm
Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena esok
October 7, 2025, 3:39 pm
MP PN gesa Tiong King Sing mohon maaf, letak jawatan isu hidangan arak
October 7, 2025, 3:32 pm
23 aktivis misi Global Sumud Flotilla tiba di tanah air malam ini
October 7, 2025, 3:28 pm
Lebih 31,000 rakyat baharu layak terima subsidi BUDI95 – MoF
October 7, 2025, 3:21 pm
Kakitangan FAM tersilap muat naik dokumen pemain warisan – FAM
October 7, 2025, 1:33 pm
KKM bentang cadangan haramkan sepenuhnya vape tahun ini
October 7, 2025, 1:10 pm
Tiada halangan daftar SUV sebagai e-hailing – Loke
October 7, 2025, 1:05 pm