TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MP PN gesa Tiong King Sing mohon maaf, letak jawatan isu hidangan arak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 7 Okt – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung kesilapan menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan.

Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (PN–Masjid Tanah) berkata, permohonan maaf terbuka bukan tanda kelemahan tetapi mencerminkan sikap rendah diri serta tanggungjawab moral sebagai seorang pemimpin.

“PN juga menyeru Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menggugurkan menteri berkenaan daripada jawatan kerana kegagalan menjaga sensitiviti agama adalah satu bentuk kecuaian kepimpinan yang serius,” katanya pada sidang media di Parlimen bersama beberapa Ahli Parlimen PN lain.

Mas Ermieyati turut menggesa Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perbelanjaan dan peruntukan digunakan oleh Tourism Malaysia termasuk dalam majlis tersebut, bagi memastikan tiada pembaziran atau salah guna dana kerajaan.

Selain itu, PN juga mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan audit terhadap pelantikan pegawai dan ketua agensi di bawah Tourism Malaysia supaya hanya calon berkelayakan, berintegriti dan berpengalaman dalam bidang pelancongan dilantik tanpa campur tangan politik.

Terdahulu, Perdana Menteri memberi amaran tegas kepada Tiong dan kementeriannya agar tidak mengulangi kesilapan tersebut, sambil menegaskan dasar kerajaan tidak membenarkan sebarang hidangan arak dalam majlis rasmi walaupun selepas acara tamat. 

+ - reset