TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anugerah Global Leadership 2025 julang kepimpinan dunia, dirasmikan Puteri Diraja Thailand

By
|
Kongsi
image

 

 

BANGKOK 15 Okt - Anugerah Global Leadership 2025 (GLA 2025) kembali dengan penuh gemilang apabila edisi ke-13 penganugerahan berprestij itu diadakan buat pertama kali di Thailand, bertempat di Mandarin Oriental Bangkok, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Mulia Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi, dengan mengetengahkan tema “Every Business is a Global Business”, yang menekankan kepimpinan berwawasan dalam menghadapi cabaran serta memberi inspirasi kepada dunia perniagaan global.

Acara anjuran The Leaders Online dengan kerjasama My Events International dan Maximage Group itu menghimpunkan pemimpin berpengaruh dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand, United Kingdom, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye, Brunei, Myanmar dan Tanzania.

Sebanyak 25 kategori anugerah disampaikan tahun ini bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, teknologi, kelestarian, kesihatan, pendidikan dan inovasi sosial.

Antara penerima anugerah utama termasuk Mr. Charoen Sirivadhanabhakdi, Pengasas TCC Group dari Thailand yang menerima gelaran Philanthropist of the Year; Dato’ Dr Shamshudeen Yunus, Pengasas Tijarah Holdings Limited (Malaysia); dan Sir Iqbal Sacranie OBE, Pengerusi Hima Investments & Consultancy Limited (United Kingdom) yang masing-masing menerima Lifetime Achievement Award.

Turut hadir, Miss Thapanee Kiatphaibool, Ahli Lembaga dan Gabenor Tourism Authority of Thailand (TAT).

Pengerusi bersama penganjur, Viwan Karnasut, dalam ucapan penutupnya berkata GLA 2025 bukan sekadar acara meraikan pencapaian tetapi simbol kebangkitan semangat kepimpinan sejagat.

“Semua penerima anugerah bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, malah memberi impak positif kepada komuniti serta membentuk dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.

Antara organisasi dan syarikat yang turut menerima pengiktirafan ialah Aya Hotels Limited, Vida Beauty Sdn Bhd, Tourism Authority of Thailand, Women Lawyers Association of Thailand, Miskawaan Health Group, Thai Yarnyon Company Limited, Cloudsec Asia, dan Knoxtech Solution.

Majlis berprestij itu bukan sahaja meraikan kejayaan, malah menjadi platform penting memperkukuh jaringan, perkongsian idea serta kolaborasi global bagi membina masa depan lebih mampan dan inklusif. - Media Telus

 

+ - reset