TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu bas dipenjara 66 tahun, 22 sebatan amang seksual 5 pelajar perempuan dalam bas

By
|
Kongsi
image

 

MUAR 15 Okt - Seorang pemandu bas henti-henti dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 22 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar perempuan di Batu Pahat.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu ke atas Sazali Sahlan, 53, selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah tertuduh, rayuan bagi meringankan hukuman serta hujahan pihak pendakwaan.

Tertuduh berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap kesalahan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani enam tahun penjara dengan 22 sebatan kekal dikenakan.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Menurut fakta kes, tertuduh yang sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap lima pelajar perempuan berusia 14 tahun di dalam bas yang diparkir di hadapan hentian bas di Jalan Yong Peng–Muar, Yong Peng, antara hujung tahun 2024 hingga pertengahan 2025.

Siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan secara berulang sejak tahun lalu, dan kali terakhir pada pertengahan tahun ini. Semua mangsa dikatakan melihat sendiri tindakan tidak senonoh tertuduh ketika menaiki bas yang sama untuk pulang ke sekolah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

+ - reset