Berita Berita
'Saya tak sangka dia yang pendiam mampu melakukan keganasan' - Bapa suspek

PETALING JAYA 15 Okt - “Saya tidak sangka dia yang pendiam mampu melakukan sebarang keganasan. Sekarang saya tidak tahu cara mahu berdepan dengan keluarga mangsa.”
Itu luahan pilu seorang bapa berusia 40 tahun kepada remaja lelaki berusia 14 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes tikaman hingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, Selasa lalu.
Menurutnya, tiada kata-kata atau permohonan maaf yang mampu menebus kejadian tragis itu.
“Apa sahaja yang dikatakan sekarang tidak akan membawa makna. Ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Hati saya remuk dan hancur selepas mengetahui kejadian itu,” katanya dalam temu bual bersama China Press.
Katanya lagi, anaknya seorang yang bersifat introvert dan tidak pernah menunjukkan kecenderungan untuk melakukan sebarang jenayah.
“Dia tidak pernah bercerita tentang mangsa kepada kami. Walaupun keputusan akademiknya lemah, dia bukan jenis yang suka menimbulkan masalah,” katanya.
Sementara itu, pada Rabu, pelajar lelaki Tingkatan Satu itu direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha selepas membenarkan permohonan pihak polis. Suspek akan direman sehingga Selasa depan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang juga pelajar Tingkatan Tiga meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 9.30 pagi selepas dipercayai ditikam oleh suspek.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan remaja terbabit berjaya ditahan pada hari sama kejadian.
Cubaan media untuk merakam gambar suspek ketika dibawa ke mahkamah tidak berjaya apabila pelajar itu diiringi melalui laluan khas menuju ke lokap sementara.
Berita berkaitan
October 15, 2025, 9:28 pm
Pejabat DUN Sijangkang runtuh akibat ribut, wanita cedera terperangkap setengah jam
October 15, 2025, 8:21 pm
Gagal bayar hutang lebih RM1 juta, barangan mewah Datuk Seri Vida dilelong 30 Oktober ini
October 15, 2025, 6:46 pm
Bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan Lembah Klang, TNB sahkan gangguan sedang dibaiki
October 15, 2025, 4:59 pm
Tekanan emosi, pengaruh media sosial punca remaja tikam rakan sekolah - Polis
October 15, 2025, 4:02 pm
Rayer jemput Wan Ahmad Fayhsal sertai blok kerajaan selepas digantung Bersatu
October 15, 2025, 3:58 pm
Pemandu bas dipenjara 66 tahun, 22 sebatan amang seksual 5 pelajar perempuan dalam bas
October 15, 2025, 3:45 pm
Pemegang lesen memandu Singapura layak mohon subsidi BUDI95 mulai esok - Loke
October 15, 2025, 3:38 pm