Berita Berita
Malaysia terus lantang gesa reformasi sistem antarabangsa – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Malaysia akan terus menjadi suara lantang di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memperjuangkan reformasi sistem antarabangsa yang lebih adil, telus dan berperikemanusiaan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia bersama rakan di Selatan Global dan negara sehaluan akan terus mendesak supaya PBB menjadi institusi yang relevan dengan cabaran abad ke-21, selain memastikan suara negara membangun tidak lagi diketepikan di peringkat global.
Katanya, persidangan yang dianjurkan tidak harus menjadi penamat, sebaliknya permulaan baharu supaya segala pandangan dan idea yang dikongsi dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata.
“Marilah kita terus membawa ‘Semangat Kuala Lumpur’, iaitu semangat solidariti, keberanian berprinsip dan kerjasama pragmatik.
“Semangat ini menuntut kita untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dengan mempertahankan prinsip Piagam PBB, termasuk penghormatan terhadap kedaulatan, integriti wilayah, hak menentukan nasib sendiri, hak pembangunan dan larangan penggunaan kekerasan.
“Pengabaian prinsip-prinsip ini hanya akan menghakis asas keselamatan kolektif kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Persidangan Kuala Lumpur mengenai Tertib Antarabangsa yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), semalam.
Mohamad turut menekankan kepentingan pembangunan berteraskan manusia melalui sistem yang mengutamakan maruah manusia, hak asasi, pendidikan, kesihatan dan persekitaran bersih.
“Ia juga harus merapatkan jurang digital dan teknologi agar kemajuan tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” katanya.
Persidangan dua hari itu menghimpunkan tokoh pemikir, penggubal dasar dan pemimpin antarabangsa bagi membincangkan keperluan reformasi institusi global serta peranan negara membangun dalam membentuk dunia lebih saksama.
Malaysia turut menggesa dunia memperkukuh suara kolektif Selatan Global untuk membentuk semula naratif global, termasuk menerusi Kerjasama Selatan-Selatan.
“Kita mesti bersatu menyuarakan isu penting rakyat — dari Gaza ke Khartoum, daripada pembiayaan iklim ke pelepasan hutang, dan daripada pelepasan hutang kepada pembangunan,” ujarnya.
Mohamad berkata, seruan kepada Majlis Keselamatan PBB supaya menjadi lebih representatif, telus dan bertanggungjawab bukanlah perkara baharu, namun semakin mendesak setiap kali majlis itu gagal menyelesaikan krisis dunia.
Beliau menyifatkan tragedi berterusan di Palestin sebagai bukti paling jelas kegagalan sistem global sedia ada.
“Status quo kini tidak lagi berdaya tahan kerana sistem antarabangsa dibentuk dalam era berbeza dan tidak lagi sesuai dengan realiti semasa.
“Kita mesti mengakui bahawa sistem sedia ada gagal memenuhi janji keamanan dan keadilan, sementara suara Selatan Global sering diketepikan di dewan kuasa dunia.
“Sesebuah sistem tidak boleh dianggap adil atau berperikemanusiaan jika ia secara asasnya tidak seimbang,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangan rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara berdaulat tidak boleh ditangguhkan lagi, kerana ia menjadi ukuran sebenar terhadap komitmen dunia kepada keadilan dan kemanusiaan.
Berita berkaitan
October 16, 2025, 4:49 pm
Kabinet bincang kes rogol dan tikam pelajar dalam mesyuarat esok
October 16, 2025, 4:35 pm
Murid perempuan cedera dipukul rakan sekolah di Sipitang
October 16, 2025, 4:30 pm
JPN Kedah siasat kes rogol dan video lucah melibatkan pelajar sekolah
October 16, 2025, 4:22 pm
Feri percuma sempena Deepavali pada 20 Oktober – SPPP
October 16, 2025, 4:02 pm
Polis siasat pengaruh permainan video, media sosial dalam kes bunuh pelajar di Bandar Utama
October 16, 2025, 2:21 pm
Dua calon SPM didakwa rogol pelajar Tingkatan Tiga dalam kelas, seorang mengaku bersalah
October 16, 2025, 12:20 pm
Agensi diarah siap siaga hadapi Monsun Timur Laut – Ahmad Zahid
October 16, 2025, 12:13 pm