Berita Berita
Dua calon SPM didakwa rogol pelajar Tingkatan Tiga dalam kelas, seorang mengaku bersalah

ALOR GAJAH 16 Okt - Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit diheret ke Mahkamah Kanak-kanak di sini, hari ini.
Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun itu, yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), didakwa di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee atas tiga pertuduhan iaitu rogol secara berkumpulan, persetubuhan bertentangan aturan tabii dan amang seksual fizikal.
Bagaimanapun, hanya seorang daripada mereka mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Menurut pertuduhan pertama, mereka bersama-sama didakwa merogol secara berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan yang juga pelajar Tingkatan Tiga.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kelas sekolah menengah di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang, 30 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan ketiga pula menyatakan mereka melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara mangsa, yang dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar, yang memohon jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.
Bagaimanapun, peguam Chua Yong Yi, mewakili tertuduh pertama, memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya menghadapi masalah kesihatan termasuk baru menjalani pembedahan sinus dan menghidap penyakit angin pasang.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh kedua turut memohon jaminan rendah dan menyatakan tertuduh bersedia mematuhi sebarang syarat mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Dr Shu Yee membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,500 masing-masing bagi pertuduhan kedua serta ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan RM7,000 setiap seorang.
Mahkamah menetapkan 26 November depan bagi serahan dokumen terhadap tertuduh pertama serta laporan akhlakbagi tertuduh kedua sebelum menjatuhkan hukuman.
Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan SPM bulan depan direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar S R Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Difahamkan, perbuatan jenayah itu dilakukan di dalam kelas dan dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.
Berita berkaitan
October 16, 2025, 9:06 pm
KDN lupus 5.5 tan alat mainan seks di Selangor
October 16, 2025, 7:09 pm
Ibu mangsa dedah anak ditikam lebih 200 kali, bukan 50 dalam tragedi bunuh di sekolah Bandar Utama
October 16, 2025, 6:04 pm
Anugerah Star Icon 2025 angkat sumbangan tokoh tempatan, antarabangsa
October 16, 2025, 4:59 pm
Kes influenza di IPT masih terkawal – Mustapha
October 16, 2025, 4:49 pm
Kabinet bincang kes rogol dan tikam pelajar dalam mesyuarat esok
October 16, 2025, 4:35 pm
Murid perempuan cedera dipukul rakan sekolah di Sipitang
October 16, 2025, 4:30 pm
JPN Kedah siasat kes rogol dan video lucah melibatkan pelajar sekolah
October 16, 2025, 4:22 pm