TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM perjelas isu ‘simpan bawah karpet’, bukan sembunyi kes – Fadhlina

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, mengenai isu banyak perkara negatif dalam sistem pendidikan negara yang didakwa ‘disimpan bawah karpet’ tidak bermaksud kes di sekolah disembunyikan.

Menurut Fadhlina, kenyataan tersebut sebenarnya merujuk kepada insiden yang sudah dilaporkan kepada pihak berkaitan, termasuk hingga ke peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), namun tidak dianggap serius sehingga **tindakan intervensi tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Apa yang beliau tegaskan ialah terdapat insiden di sekolah yang sebenarnya telah diketahui atau dimaklumkan kepada guru, pentadbir, guru kaunseling, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPN.

“Namun ketika itu ia dianggap sebagai kes kecil, tidak serius atau bersifat sementara. Akibat persepsi itu, tindakan intervensi diambil mungkin bersifat ringan dan tidak menyeluruh.

“Itu yang sangat menggusarkan kami, kerana jika kes seperti ini tidak diberi perhatian sewajarnya, siasatan dan intervensi menyeluruh tidak dapat dijalankan,” katanya ketika menjawab Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina menegaskan, keadaan sedemikian boleh menyebabkan sebahagian kes berlarutan dan menimbulkan implikasi lebih besar jika tidak ditangani dengan serius.

Sebelum ini, Dr Mohd Azam dilaporkan mendedahkan bahawa beliau menemui banyak perkara negatif dalam sistem pendidikan yang ‘disimpan di bawah karpet’ dalam tempoh tiga bulan pertama selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.

Antara yang dibangkitkan termasuk aduan kes amang seksual dan buli yang berlaku dalam institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau turut menegaskan bahawa perkara yang sebelum ini ‘disimpan’ itu kini menjadi tanggungjawabnya untuk diketengahkan agar sebarang kejadian lebih buruk dapat dielakkan.

+ - reset