Berita Berita
'Ada yang tulis 'pergi mampos' pada tangan anak' - Ibu dakwa anak jadi mangsa buli di asrama sehingga masuk ICU

KUALA LUMPUR 17 Okt - Seorang pelajar institusi pendidikan di bawah sebuah agensi agama dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas dipercayai menjadi mangsa buli di asrama, menurut dakwaan ibunya di media sosial.
Menerusi hantaran di akaun Threads @Ifrance.s, wanita berkenaan mendakwa menerima panggilan daripada seorang ustazah pada 8 Oktober lalu yang memaklumkan anaknya, Nur Aisyah, mengalami sakit dada sebelum dibawa ke sebuah klinik kesihatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, doktor memaklumkan keadaan anaknya membimbangkan kerana bacaan jantung tidak stabil, menyebabkan dia terus dirawat di ICU.
“Saya difahamkan kejadian ini berkait dengan kes membuli anak saya kerana tertulis di tangan Aisyah perkataan ‘pergi mampos’ dengan pen marker biru.
“Kami percaya kejadian ini berlaku susulan insiden membuli Aisyah baru-baru ini,” dakwanya dalam hantaran itu.
Wanita berkenaan berkata, anaknya kini masih menerima rawatan dan dijadual menjalani pembedahan di Hospital Serdang pada 23 Oktober.
“Saya bukan mahu mencari salah, tapi hati seorang ibu ini terlalu berat menanggung kecewa. Saya hantar dia ke asrama dengan penuh percaya… tapi sekarang kepercayaan itu retak,” katanya.
Beliau turut mendakwa anaknya memberitahu bahawa semasa kejadian, tiada pengawas mengiringi, malah dia ditarik ke tandas, matanya ditutup dan makanan dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Saya harap ada siasatan lebih lanjut daripada pihak polis,” katanya sambil menambah anaknya kini dirujuk kepada pakar psikiatri dan diberi ubat bagi menenangkan diri.
Wanita itu turut memohon doa orang ramai agar kesihatan anaknya pulih dan keadilan ditegakkan.
Difahamkan, ibu berkenaan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung kejadian tersebut.
Berita berkaitan
October 18, 2025, 3:56 pm
36 mangsa tragedi Putra Heights saman Petronas Gas, 4 pihak lain, Tommy Thomas dilantik peguam utama
October 18, 2025, 3:27 pm
Perpaduan dan kebersamaan teras kekuatan negara – Anwar
October 18, 2025, 2:47 pm
Malaysia jadi tuan tumah GSF 2025, beri tumpuan peranan sektor swasta pacu pembangunan tenaga kerja
October 18, 2025, 1:17 pm
102 sekolah di KL, Selangor laksana PdPR dan WFH sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
October 18, 2025, 11:36 am
Tok siak ditahan disyaki pegang kemaluan remaja 15 tahun ketika tumpang kereta di Bukit Sentosa
October 18, 2025, 5:01 am
'Lebih baik kami ambil jalan masing-masing' - Rafizi tak nampak ruang untuk kembali ke pimpinan PKR
October 17, 2025, 7:33 pm
Bapa, dua anak antara enam dicekup punggah 509kg daun ketum di Kuantan
October 17, 2025, 7:18 pm
Pelajar UM maut terjatuh dari tingkat 3 kolej kediaman
October 17, 2025, 4:05 pm