TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

102 sekolah di KL, Selangor laksana PdPR dan WFH sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 18 Okt - Sebanyak 102 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberi kebenaran melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta Bekerja Dari Rumah (BDR) dari 23 hingga 29 Oktober ini, sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terjejas, mengambil kira penutupan jalan dan kawalan keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

“Ibu bapa, penjaga, murid, guru dan warga sekolah terbabit dinasihatkan merujuk saluran rasmi sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pelaksanaan PdPR dan BDR,” menurut kenyataan itu.

KPM turut menjelaskan bahawa pengalaman melaksanakan PdPR dan BDR semasa pandemik COVID-19 serta ketika Sidang ASEAN Mei lalu akan menjadi panduan bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid tanpa menjejaskan kesejahteraan warga sekolah.

Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia berprofil tinggi terbesar pernah diadakan di negara ini, dengan kehadiran beberapa kuasa besar dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan antara pemimpin yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta kemungkinan Presiden China, Xi Jinping, selain ketua kerajaan negara ASEAN dan rakan dialog lain.

Senarai sekolah terlibat dengan pelaksanaan PdPR dan BDR:

- Selangor (Daerah Petaling Utama, Petaling Perdana, Sepang, Hulu Langat)
– Termasuk SK Assunta (Satu), SMK Assunta, SK Bukit Jelutong, SMK Shah Alam, SK Cyberjaya, SMK Putra Perdana, dan Sekolah Rendah Stella Maris.

- Kuala Lumpur (Bangsar & Pudu, Keramat, Sentul)
– Termasuk St. John Institution, SMK Convent Bukit Nanas, Sekolah Sukan Bukit Jalil, SM Sains Alam Shah, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, dan Kolej Tingkatan Enam Pudu Jaya.

Selain sekolah kerajaan, beberapa sekolah antarabangsa dan swasta seperti Australian International School, HELP International School, Sri Kuala Lumpur International School, dan St. John’s International Secondary School turut terbabit dalam pelaksanaan PdPR sepanjang tempoh tersebut.

+ - reset