TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'PAS tak pernah campur tangan adat orang Cina ketika jadi kerajaan' - Guan Eng sifatkan Anwar jolok sarang tebuan larang alkohol di sekolah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Okt - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai larangan penganjuran majlis melibatkan alkohol di dewan sekolah awam termasuk di premis komuniti Cina mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin dan masyarakat Cina.

Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menyifatkan kenyataan Anwar di Dewan Rakyat semalam sebagai “menjolok sarang tebuan”, dengan mendakwa ia menyinggung perasaan masyarakat Cina dan mencerminkan campur tangan tidak perlu terhadap adat resam mereka.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, majlis seperti perkahwinan, makan malam atau acara sosial yang melibatkan alkohol telah lama dianjurkan di dewan komuniti Cina di kawasan sekolah vernakular tanpa sebarang masalah dan tidak melibatkan pelajar.

“Rasa tidak puas hati masyarakat Cina berakar umbi kerana Anwar membiarkan dirinya bertindak mengikut rentak pelampau dan perkauman dengan masuk campur, mengganggu dan menjekaskan aturan adat yang tidak menimbulkan kontroversi atau memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, amalan itu telah berlangsung selama beberapa dekad, malah semasa PAS berada dalam kerajaan, tiada sebarang campur tangan dibuat terhadap aktiviti komuniti di sekolah rendah Cina.

Beliau turut mengingatkan bahawa tujuan utama dewan komuniti digunakan selepas waktu sekolah ialah bagi mengukuhkan hubungan sosial dan kebudayaan masyarakat.

“Lagipun, sekolah rendah Cina terkenal secara meluas sebagai institusi pendidikan yang cemerlang dan pelajarnya tidak terdedah kepada alkohol, malah memiliki akhlak dan nilai etika yang baik,” katanya.

Anwar semalam berkata beliau tidak bersetuju alkohol dihidangkan dalam kawasan sekolah, namun menjelaskan larangan itu hanya boleh dikuatkuasakan di sekolah kerajaan.

Beliau menegaskan pendiriannya itu bukan bertujuan menyekat hak orang bukan Islam, tetapi bagi menjaga imej sekolah sebagai tempat pendidikan.

Bagaimanapun, Guan Eng bimbang kenyataan itu boleh membawa kepada larangan lain terhadap adat tradisi komuniti Cina.

“Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah sekolah rendah Cina juga akan menyaksikan larangan menghidangkan daging babi di majlis-majlis adat seperti perkahwinan, makan malam di kuil dan acara hiburan?” soalnya.

Menurutnya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah berhubung secara langsung dengan Anwar untuk mencari penyelesaian yang lebih adil.

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan semangat keadilan dan persefahaman yang sama,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, turut mengecam kenyataan Anwar dan menyifatkannya sebagai dasar yang “menindas pelbagai budaya” atas nama nilai pendidikan.

Beliau berkata, banyak sekolah vernakular bergantung pada hasil sewaan dewan untuk tujuan penyelenggaraan dan operasi harian.

“Kini dengan hanya satu arahan daripada kerajaan yang mengharamkan acara yang ‘melibatkan alkohol’, ia sama seperti memutuskan sumber pendapatan penting untuk sekolah tanpa mengambil kira kesulitan kewangan mereka,” katanya.

Tan turut mempersoalkan sama ada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Kementerian Kewangan akan menanggung kerugian tersebut sekiranya larangan berkenaan diteruskan.

“Apa yang dipanggil Kerajaan Madani terus berdakwah tentang kesederhanaan dan kepelbagaian, tetapi dalam praktiknya, ia bertindak sebaliknya mendorong negara ke arah jalan yang homogen dan didominasi agama,” katanya lagi.

Tan menegaskan, apabila kerajaan mula campur tangan dalam urusan awam atas dasar agama, ia membuka ruang kepada sekatan budaya yang lebih luas.

“Hari ini mereka mengharamkan alkohol di sekolah; esok mungkin ke atas pusat beli-belah atau jamuan persendirian. Lama-kelamaan, kebebasan budaya dan cara hidup rakyat akan disekat sedikit demi sedikit,” katanya.

 

+ - reset