Berita Berita
(VIDEO) Remaja 17 tahun jana RM76,000 jual video lucah dan eksploitasi seksual kanak-kanak – PDRM
KUALA LUMPUR 24 Okt – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikesan mampu menjana pendapatan kira-kira RM76,000 hasil penjualan video lucah dan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) di ruang siber, hasil operasi khas Op Pedo yang dijalankan antara 22 hingga 30 September lalu.
Operasi bersepadu membanteras jenayah siber itu dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
KLIK SINI UNTUK TONTON VIDEO PENUH
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata remaja terbabit antara 31 suspek lelaki berusia 12 hingga 71 tahun yang ditahan dalam 37 serbuan di seluruh negara.
“Remaja berusia 17 tahun itu mencatat aliran kewangan sebanyak RM76,000 hanya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ini menunjukkan kemerosotan moral yang amat membimbangkan dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurut beliau, operasi yang disertai 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen PDRM serta SKMM itu turut merampas 82 peranti digital termasuk komputer, telefon bimbit, modem dan storan digital.
“Analisis awal mendapati lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan CSAM dan pornografi dewasa ditemukan — peningkatan lebih 20 kali ganda berbanding operasi pertama pada Disember tahun lalu,” katanya.
Sebanyak 29 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk:
-
Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,
-
Seksyen 292 Kanun Keseksaan, serta
-
Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Daripada 17 suspek yang dituduh di mahkamah, 15 mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, manakala dua lagi memilih untuk dibicarakan.
Mohd Khalid berkata, modus operandi sindiket melibatkan aktiviti memuat turun, menyimpan dan mengedar bahan lucah kanak-kanak melalui pelbagai platform digital termasuk Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, Dark Web dan Cloud Storage.
“Sebahagian suspek turut bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan CSAM menggunakan transaksi e-dompet dan kod QR perbankan,” katanya.
Beliau menegaskan, jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian merupakan ancaman serius yang boleh mencetuskan jenayah kekerasan lain serta menggugat keselamatan negara.
“Ibu bapa perlu memantau penggunaan peranti anak-anak dan meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam keluarga bagi mengekang penyebaran bahan tidak bermoral ini,” katanya.
PDRM katanya, akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan SKMM serta agensi dalam dan luar negara bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi, penderaan dan diskriminasi.
Berita berkaitan
October 24, 2025, 4:24 pm
Penunggang maut langgar belakang lori di Jalan Kempas Lama
October 24, 2025, 4:17 pm
Tiada lockdown di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Fahmi
October 24, 2025, 2:59 pm
Bayi 11 bulan maut, kereta keluarga terbabas selepas langgar sekumpulan lembu
October 24, 2025, 2:48 pm
Dua pasangan ditahan berkhalwat di hotel, beri alasan ‘berteduh sebab hujan’
October 24, 2025, 2:38 pm
Donald Trump tiba di Malaysia Ahad ini untuk hadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
October 24, 2025, 2:33 pm
Menteri Ekonomi ASEAN dijamu nasi lemak sempena Mesyuarat AECC ke-26
October 24, 2025, 2:17 pm
PGA gagalkan cubaan seludup ganja dan beras di Pasir Mas, Tumpat
October 24, 2025, 1:05 pm
